KerohanianSemasa

Replika kayu capal : Hiasan atau amalan taksub?

Replika kayu capal undang kekeliruan

GERIK 6 April :  Pihak surau Pondok Haji Shahruddin Al Mandili menafikan bahawa replika kayu berbentuk capal yang tular kerana diletakkan di ruang solat di sebuah surau  Lenggong Perak  mempunyai kaitan dengan amalan taasub.

Tindakan ini menimbulkan kekeliruan bahawa siapa sebenarnya yang perlu disembah ketika menunaikan solat fardhu di surau?

Namun, pihak pengurusan pondok memberi penjelasan bahawa ia  dipasang sejak setahun lalu hanyalah sekadar hiasan kerana ruang berkenaan turut dijadikan studio bagi aktiviti ceramah dan kuliah.

Menurut Sinar Harian, Mudir madrasah, Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri berkata replika itu dihasilkan sendiri olehnya yang mempunyai kemahiran dalam menukang dan diletakkan di ruang itu semata-mata sebagai latar belakang ketika ceramah.

“Ruang imam ini sudah dijadikan studio untuk ceramah agama sejak setahun lalu, kuliah Subuh dan Maghrib pula kita buat setiap hari dan ada disiarkan secara langsung di Facebook. Jadi saya sengaja letakkan replika kayu ini di sini untuk menggantikan hiasan lain, replika ini turut dihiasai dengan lampu untuk mencantikkan ruang ketika ceramah. Itu sahaja, bukan digunakan untuk tujuan menyembah atau sebagainya,” – Mudir Madrasah/Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah memberi penjelasan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berhubung isu itu pada Isnin.

Ahmad Rozaini menganggap isu tular itu sebagai satu hikmah kerana ramai pihak menghubunginya berhasrat untuk menempah replika sama sebagai hiasan.

“Mereka nampak berpuas hati dengan penjelasan yang saya berikan itu dan buat masa ini saya tak terima lagi arahan agar replika itu diturunkan. Saya alu-alukan jika ada yang berminat, sekurang-kurangnya hasil upah itu nanti boleh digunakan untuk menyiapkan proses naik taraf surau ini. Boleh juga beri keselesaan kepada penduduk sekitar yang datang untuk menunaikan solat atau mengikuti kuliah dan ceramah di sini,” – Mudir Madrasah/Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri

Ahad lalu, tular di laman sosial sebuah madrasah di Perak menempatkan replika berbentuk capal pada hadapan mihrab iaitu sudut bahagian imam.

Hantaran tular itu telah mendapat reaksi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui ciapan balasnya di laman Twitter menyifatkan ia satu kesalahan dalam menzahirkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Berikut pencerahan mengenai capal berkenaan :

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4633-bayan-linnas-siri-ke-230-capal-rasulullah-lakaran-dan-tabarruk

 

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button