InspirasiSemasa

Puan Husna ‘gatekeeper’ anak bangsa

Inspirasi Ummah - Usahawan buku dan isteri yang cekal

Semasa kecil, pernah dianggap sebagai anak orang kaya, kerana ayah dan ibunya bekerja kerajaan. Ayahnya pensyarah, ibunya pegawai perancang bahasa. Hakikatnya, ibu dan ayah sangat bersederhana dalam mengatur hidup keluarga. Tiada kemewahan tetapi semuanya mencukupi.

PBAKL 2019. Puan Husna bersama angkasawan negara.

Dalam keluarga, mereka diajar makan seekor ikan selar kuning untuk setiap seorang, tidak boleh tambah kerana cukup tujuh ekor untuk tujuh orang. Abah, emak, dan mereka lima beradik. Nasi jarang bertambah kerana lauk cukup-cukup.

Satu ketul potongan ayam mencukupi bagi sekali makan. Seekor ayam dipotong 16, dibahagi dua untuk dua kali masak. Peraturannya sama, tidak boleh tambah kerana semuanya cukup-cukup.

Mainan juga begitu. Satu mainan perlu dikongsi lima orang. Tiada mainan isitimewa, tiada mainan babitkan jantina. Mainan yang emak ayah beli, lelaki dan perempuan dapat main. Set boling plastik, SAHIBBA, SAIDINA. Semua perlu dikongsi dan dijaga bersama. Selepas main, masukkan ke dalam bakul. Tiada yang dapat menyimpan sendiri-sendiri dan menganggap sebagai harta peribadi.

Kehidupan begitu yang membentuk diri tokoh kali ini iaitu Puan Husna Adnan, yang menjadikannya seorang insan cekal dalam kehidupan.

Puan Husna kini bekerja sendiri sebagai editor, typesetter, penulis, dan usahawan buku di Skuad Misi PLT, syarikat yang diusahakan bersama suami iaitu Tuan Nazry Salam. Selain menulis buku, mereka juga menjual buku sendiri dan menjual buku-buku lain yang diyakini memberi manfaat kepada masyarakat.

Bersama suami. ‘Misi Kira: Cabaran Infiniti’ dipilih sebagai Buku Komik Terbaik di Anugerah Buku Negara 2017

Kerjaya dalam bidang perbukuan ini diinspirasikan oleh ibunya sendiri. Sejak kecil melihat ibunya menyunting manuskrip para penulis dengan pen merah, hingga timbul rasa kagum akan kerja ibunya sebagai kerjaya yang bergaya dan bijak.

Sejak tingkatan empat dia mula fokus dalam mengejar cita-cita sebagai editor dengan memasuki kelas sastera sebelum melanjutkan pengajian Diploma Komunikasi Massa hingga bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Penerbitan di UiTM. Dia turut menjadi salah seorang graduan yang dianugerahkan Anugerah Naib Canselor.

Orang kata, ke mana tumpahnya kuah sekiranya tidak ke nasi. Ibu dan ayah Puan Husna juga merupakan penulis buku yang memungkinkan bakat penulisan mengalir terus dalam diri. Ibunya penulis novel, manakala ayah menulis buku-buku dan artikel akademik.

Reruai bertemakan restoran sempena Misi Chef – PBAKL 2019

Apabila memasuki dunia pekerjaan, dia bekerja di PTS (sebuah syarikat penerbitan) sebagai editor dan di situ dia menemukan kata-kata keramat yang dipegang hingga kini iaitu ‘Memandaikan Bangsa’ dan ‘Patuh Syariah’.

Itu asas kepada rasa seronok dalam mengusahakan peranan sebagai ‘gatekeeper’ kepada anak bangsa. Setiap buku yang mahu ditulis, diterbitkan, dan dijual perlu selari dengan prinsip ini supaya tidak melakukan kerja sambil lewa lantas melepaskan bahan bacaan tidak berfaedah dan melanggar tuntutan agama.

Bersama pembaca Misi, PBAKL 2019
PBAKL 2019. Bersama rakan-rakan industri.

Tidak dinafikan peri pentingnya menguasai pelbagai kemahiran dalam bidang ini, antaranya kemahiran menulis, bercerita, menyunting, menggunakan perisian dan aplikasi terkini, serta selok-belok ilmu perniagaan. Namun bagi Puan Husna, niat melakukan satu-satu kerja itu lebih utama supaya konsisten melakukannya tanpa lelah. “Niatkan kerana Allah, dan meyakini hanya Allah pemberi rezeki. Dapat banyak, rezeki. Dapat sedikit pun rezeki. Dengan itu, kita akan memuliakan pekerja kita dengan sikap yang baik.”

Tambahnya lagi, “Sekiranya kita sedar kepentingan berakhlak pada tiap pekerjaan dan rezeki kita, kita akan lebih berhati-hati dan ikhlas bekerja tanpa berorientasikan wang semata-mata.”

Memetik kata Imam Al-Ghazali, “Berniaga dengan tujuan keuntungan semata-mata, tidak boleh tidak, mesti disertai dengan pelbagai tipu helah.”

Apabila ditanya berkenaan kelebihan kerjaya ini berbanding yang lain, Puan Husna menjawab, “Latar belakang keluarga, pengalaman berkuli dengan dua syarikat penerbitan dan seterusnya bekerja sendiri sejak 2011 adalah kelebihan yang tidak ternilai.

“Jawatan kita dapat ditukar ganti, namun pengalaman kita adalah milik peribadi.

“Pengalaman itulah yang kita dapat kongsikan, amalkan, dan ajarkan kepada orang lain walaupun kita tidak lagi memegang sebarang jawatan di mana-mana syarikat.

“Pun begitu, saya berulang-kali mengingatkan diri perihal unfair advantage yang saya perolehi supaya tidak mendabik dada dan rasa diri paling betul.

“Nak dijadikan cerita, saya berkahwin pula dengan seorang penulis yang kemudian dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam industri buku. Tidak ramai dapat merasai peluang yang sama, jadi saya benar-benar berharap dapat memberi manfaat atas kelebihan yang ada.”

Walau bagaimanapun, tiada manusia yang sempurna. Pasti setiap orang ada kelemahan mereka sendiri dan dia juga tidak terkecuali. Menurut Puan Husna,

“Dalam meniti usia, saya dapati saya mengalami trust issue.

“Walau bagaimanapun, kelemahan ini tidak begitu memberi kesan dari sudut kerjaya kerana peluang bekerjasama sebagai editor lebih banyak diterima dalam kalangan sahabat rapat dan klien sedia ada. Malah biasanya Tuan Nazry yang akan ke hadapan dan beliau lebih pandai mengurus emosi. Kami sedar bahawa bukan semua orang ikhlas merapati demi manfaat bersama melainkan lintah semata-mata, namun tiap pengalaman tetap pengalaman termasuk yang buruk belaka.

“Selagi hidup, kita perlu terus kuat dan belajar rentak dunia.”

Pengalaman sebagai usahawan buku pula, tidak kurang mencabar. Pengalaman pahit pasti lebih mengesankan kerana daripada situ kita akan belajar sesuatu. Antara yang memberi 1001 pengajaran adalah ketika menyewa pejabat demi menjalankan bengkel pada waktu pandemik.

Antara bengkel yang sempat dijalankan waktu pejabat masih beroperasi (September 2020)

Asbab PKP dan PKPB tahun lalu, mereka hanya sempat menganjurkan tiga kali bengkel dalam masa tiga minggu (hanya pada hari Sabtu) sebelum ditutup. Buka bulan September 2020, dan tutup awal Disember pada tahun sama.

“Sepatutnya kontrak tamat pada Oktober tahun ini, namun selepas mengira untung rugi, kami sepakat dan tekad bagi keluar dengan burn deposit sebulan berbanding terus buta-buta membayar sewa.

Mujurlah mereka membuka pejabat dengan mengikut rapat nasihat mentor iaitu Puan Ainon Mohd. Mereka tidak mengubah suai, dan hanya membeli beberapa perabot yang kemudiannya dapat digunakan di rumah selepas berpindah keluar. Tidak berhabis dalam menghias pejabat. Maka kos buka kedai tidak tinggi. Semua selesai tanpa hutang.

Kini Puan Husna dan suami masih menjalankan bengkel secara dalam talian menerusi aplikasi ZOOM. Lebih mudah, dan lebih ramai peserta dari seluruh negara dapat ikuti tanpa perlu datang ke Kajang. Ini gerak kerja baru yang dipelajari asbab PKP dan PKPB. Jualan buku juga terus meriah dengan sistem dalam talian yang lebih kemas.

Sekiranya satu hari nanti tiba semula keperluan membuka pejabat, mereka sudah ada beberapa kriteria supaya tidak mengulangi kesilapan sama. Buat masa ini, mereka selesa bagi meneruskan operasi secara dalam talian.

Pengalaman bersama pelanggan juga tidak kurang hebat. Menurut Puan Husna, berkali-kali mereka menerima perkongsian pengalaman para pembaca yang terinspirasi selepas membaca komik Misi hingga berusaha kuat dalam pelajaran. Tidak kurang juga yang berkongsi koleksi buku mereka yang dikumpul sejak zaman sekolah, walaupun sudah berkahwin dan beranak-pinak.

“Selain komen membina, ada juga komen menghina, dan mendoakan kejatuhan kami, namun kami ambil mana yang dapat membantu penambahbaikan produk dan servis kami, dan terus berusaha mencuba yang terbaik untuk masyarakat.”

Berkenaan masa hadapan pula, Puan Husna berkata, “Saya bukan jenis merancang terlalu jauh, namun saya ada satu niat yang konsisten berlegar dalam diri saya iaitu mahu mempunyai premis sendiri dan menguruskan pekerja demi berkongsi rezeki.

“Tidak kira sama ada bisnes berkaitan buku mahupun tidak, saya bercita-cita mahu membantu lebih ramai orang dalam menjana pendapatan. Semoga Allah makbulkan dan permudahkan niat ini.”

Puan Husna berkongsi satu doa yang disukainya dalam meniti hari iaitu, “Ya Allah, berilah aku kecukupan dengan rezeki yang halal hingga aku tidak memerlukan yang haram, dan berilah aku kekayaan dengan kurniaan-Mu, hingga aku tidak memerlukan bantuan orang lain, selain diri-Mu.”

Kepada yang mahu mengikuti jejak langkah Puan Husna, pesannya, “Dalam apa jua bidang, apabila kita baru bermula, kita kembali kosong.

“Walaupun kita seorang doktor, cikgu, peguam, dan apa jua jawatan hebat dalam dunia kerjaya itu, apabila kita menceburi bidang lain, kita perlu belajar dari bawah. Cari orang yang berkredibiliti, yang dapat memberi panduan, yang berpijak di bumi nyata.

“Supaya kekal relevan, kita perlu terus belajar. Setiap hari ada ilmu baru bagi kita, maka lapangkan dada demi menerimanya dan cari ruang mengaplikasikannya. Wajib beradab waktu mengaut ilmu dan kepada orang lain, kerana orang bijak pandai sekalipun jika tiada akhlak, tidak ke mana.

Jualan waktu PKP 2020

Supaya hidup lebih tenang, apabila kita berniaga mahupun bekerja makan gaji, jika tidak kaya sekalipun, doa moga apa sahaja yang kita perolehi, semua cukup untuk kita.

Itulah kisah Puan Husna. Semuanya perihal kecukupan. Tidak terlebih, tidak berkurang. Kembali kepada pengalaman masa lalunya.

Kepada yang berminat mendapatkan buku-buku dan komik bermanfaat daripada Puan Husna, layari bit.ly/SkuadMisi. Ada pelbagai tawaran menarik disediakan untuk para pelanggan. Yang berminat belajar melukis pula, sertai di bit.ly/bengkelNazry. Semuanya dalam talian sahaja, mudah dan memudahkan.

“Terima kasih atas sokongan semua, dan terima kasih kepada Tuan Baha kerana sudi menemu bual saya. Yang baik daripada Allah, yang tidak adalah atas kelemahan saya sendiri. Semoga ada manfaat daripada perkongsian kali ini.”

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button