Covid19Semasa

PRN Sabah antara punca kes Covid-19 meningkat

Tan Sri Muhyiddin akui SOP SPR tidak dipatuhi

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan kes COVID-19 di negara ini sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara itu tidak dapat dielakkan daripada diadakan kerana mengikut Perlembagaan, pilihan raya itu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan prosedur operasi standad (SOP) tertentu bagi memastikan wabak COVID-19 tidak merebak akibat kempen pilihan raya diadakan, namun malangnya ada SOP yang tidak dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya, yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari ini.

Jelas Muhyiddin, ketidakpatuhan kepada SOP itu dapat dilihat semasa beliau sendiri turun berkempen di Sabah apabila ramai pihak didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal dan berada dalam keadaan bersesak-sesak walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka.

Perdana Menteri berkata berikutan keadaan itu, beliau terpaksa membuat SOP sendiri termasuk terus ke pentas semasa tiba pada satu-satu program tanpa melalui khalayak selain mengingatkan orang ramai supaya terus patuh kepada prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya juga mengingatkan pegawai saya supaya tidak mengatur kempen saya di kawasan zon merah, walaupun menerima undangan, saya terpaksa tolak dengan baik. Ya, kalau diikutkan saya ingin berkempen di semua tempat,” kata beliau.

Muhyiddin berkata hakikatnya mereka yang dijangkiti COVID-19 telah berada di Sabah ketika itu dan sebahagian besarnya berpunca daripada pendatang tanpa izin dari negara jiran yang kemudiannya menjangkiti tahanan lain apabila ditempatkan di pusat tahanan.

Bagaimanapun, beliau berkata tindakan awal telahpun dilakukan dengan mempertingkat kawalan sempadan di Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan yang bertugas dan mengatur gerak aset seperti kapal dan bot peronda untuk mengawal sempadan perairan negara.

Selain itu, beberapa daerah di Sabah juga telah diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (PKPDB) untuk menghalang wabak tersebut daripada menular ke tempat lain, kata perdana menteri.

“Kerajaan juga mewajibkan mereka yang datang dari Sabah supaya melakukan ujian saringan ketika mereka tiba di lapangan terbang. Petugas KKM juga akan membuat penilaian risiko ke atas setiap individu yang tiba, sekiranya didapati positif, mereka akan diasingkan dan dirawat di hospital,” katanya.

Menurut Muhyiddin, seramai 18,712 orang daripada 13 kluster di Sabah telah disaring dengan 1,584 orang didapati positif COVID-19.

“Semua yang didapati positif telah diasingkan dan dirawat di hospital dan langkah susulan sedang giat dijalankan untuk mengesan dan membuat saringan ke atas kontak rapat pesakit-pesakit COVID-19 yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar tidak mudah menuding jari dan mencari kesalahan mana-mana pihak ekoran peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

“Saya tahu ada pihak yang sengaja menangguk di air keruh pada waktu ini dengan mempolitikkan masalah yang sedang dihadapi oleh negara. Jangan kita pedulikan mereka. Kita mesti fokus kepada usaha untuk menangani pandemik ini secara bersama,” katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button