Covid19Semasa

PRASARANA kurangkan kekerapan tren MRT, LRT, Monorel

Mulai hari ini hingga tamat PKPB

KUALA LUMPUR : Bermula hari ini kekerapan perkhidmatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan sehingga tamat arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (PRASARANA), Datin Norlia Noah menjelaskan bahawa pihak beliau sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren itu.

Ini berikutan daripada permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

“Perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama daripada pukul 6 pagi hingga tengah malam. Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada Ahad (25/10)

Beliau juga berkata bahawa kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun, adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” 

Datin Norlia Noah juga berkata bahawa disebabkan permintaan yang menurun bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT sepanjang tempoh PKPB ini, beliau memaklumkan bahawa kekerapan perkhidmatan bagi pengangkutan tersebut juga dikurangkan dan tiada pengecualian pada waktu puncak.

Sumber: Prasarana Berhad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button