Semasa

JAKIM saran semua masjid laksana doa Qunut Nazilah

PUTRAJAYA : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua masjid di negara ini untuk melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah semasa solat witir setiap malam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan berkata ia bertujuan bagi mendoakan keselamatan dan keamanan di bumi Palestin yang kini sedang berdepan konflik.

“Umum mengetahui bahawa konflik di Palestin telah berlangsung sejak sekian lama. Terkini, Masjidil Aqsa diceroboh dalam keadaan umat Islam sedang memberi tumpuan beribadah di bulan Ramadan yang mulia ini,”

“Justeru, JAKIM memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di seluruh Malaysia untuk mengadakan bacaan Doa Qunut Nazilah di semua masjid dan surau di bawah seliaan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tiga masjid utama JAKIM melibatkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah mula melaksanakan bacaan Doa Qunut Nazilah sejak semalam.

Dalam pada itu, JAKIM juga menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk sama-sama terus berdoa agar negara Malaysia sentiasa kekal aman, makmur dan sejahtera.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button