Covid19KemanusiaanSemasa

PKP2.0 : Alat penyejuk udara MAPIM terus manfaatkan barisan hadapan

Memberi sedikit keselesaan dalam cuaca tidak menentu kini

BANGI /SEPANG :  Sikap prihatin terhadap sesama insan terus dizahirkan tidak mengira sesiapa pun.

Lebih-lebih lagi bagi barisan hadapan negara yang menggalas tanggungjawab di kala negara, berdepan peperangan tanpa senjata – sebaliknya virus ganas menggila.

Dua buah alat penyejuk udara dibekalkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia, ke khemah tugasan barisan hadapan di Plaza Tol Putra-Mahkota dan di Plaza Tol Serenia di Sepang.

Aktivis MAPIM diketuai oleh  Mohamad Aiman Syafiq Mohd Noor  menggerakkan dua buah alat penyejuk udara ke lokasi berkenaan.

Kedua-dua kawasan terbabit adalah antara lokasi sekatan jalan raya, SJR, yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia, PDRM, di Selangor selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 oleh kerajaan bermula 16 Januari lalu hingga 26 Januari depan.

Sebelum ini pada siri PKP lalu, MAPIM Malaysia telah memasang alat penyejuk udara, di beberapa lokasi di Selangor di lokasi pusat pemeriksaan polis antaranya termasuk di PKPD Kota Warisan, PKPD Hentian Kajang.

Manakala di SJR di kedua-dua tol ini adalah antara kawasan wajib yang dibekalkan MAPIM bagi tujuan memberi sedikit keselesaan kepada petugas barisan hadapan yang bertugas 24 jam dalam keadaan cuaca terkini yang kadangkala panas dan juga hujan.

Semoga usaha kecil daripada MAPIM ini memberi manfaat kepada insan-insan lain.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button