Covid19Semasa

PICK lepasi sasaran 300,000 dos dua hari berturut-turut

KUALA LUMPUR : Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai sasaran lebih 300,000 dos suntikan untuk dua hari berturut-turut dengan rekod tertinggi sebanyak 340,043 dos dilaporkan semalam.
Angka terbaharu itu menunjukkan peningkatan 8.4 peratus dalam tempoh 24 jam berbanding 313,761 dos vaksin diberikan, kelmarin.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), berkata daripada jumlah itu, 206,757 orang menerima dos pertama, manakala 133,286 bagi dos kedua.
Ia menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin sejak Februari adalah sebanyak 9,660,519.
Merujuk laporan JKJAV, jumlah pemberian dos vaksin kedua di seluruh negara setakat semalam meliputi 8.8 peratus populasi negara dengan 12.3 peratus terdiri daripada golongan dewasa.
Sementara itu, pengagihan vaksin mengikut pecahan negeri menunjukkan Sarawak mendahului jumlah suntikan dengan mencatatkan jumlah sebanyak 1,254,639 dos, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1,231,055 dos) dan Selangor (1,202,124 dos).
Terdahulu, dalam pengumuman pelan Pakej Perlindungan Rakyat Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyasarkan 300,000 suntikan dos vaksin dalam sehari mulai Julai.
PEMULIH menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi.
Oleh : Nurshazlin Shahrom (Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button