BanjirSemasa

Pertimbang beri diskaun bil air untuk mereka terjejas banjir

Air banyak digunakan mencuci barangan rumah, premis bangunan kerana lumpur

KOTA TINGGI : Prihatin terhadap nasib mereka yang terjejas akibat banjir, kerajaan Johor diminta mempertimbang pemberian diskaun bil air bagi rakyat Johor yang menjadi mangsa banjir.

Hal ini berikutan banyak air yang akan digunakan bagi proses mencuci barangan rumah ataupun premis bangunan yang terkena kotoran dan lumpur banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Rosleli Jahari berkata selepas melihat situasi di sekitar DUN Johor Lama yang dilanda banjir sebanyak dua kali, seterusnya mencadangkan pemberian diskaun yang mengurangkan beban mangsa khususnya penduduk.

“Saya amat simpati dan memahami beban penduduk yang akan terkesan membayar bil air yang tinggi kerana digunakan bagi membasuh rumah dan kedai akibat dua kali dilanda banjir baru-baru ini.”- Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama Rosleli Jahari

“Di kawasan DUN Johor Lama, hampir 250 keluarga khususnya di Taman Aman, Taman Mawai,  Kampung Makam, Kampung Tembioh serta pusat bandar Kota Tinggi mengalami banjir buruk disertai lumpur,” katanya kepada pemberita pada program gotong-royong pembersihan rumah mangsa banjir di Kampung Tembioh, di sini hari ini.

Rosleli pada masa yang sama menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan pembersihan rumah kepada lima ketua keluarga yang dilanda banjir.

Menurut beliau, isu banjir di kawasan DUN Johor Lama bukan perkara baharu dan sering kali berlaku setiap hujung atau awal tahun.

Justeru, beliau berharap agar cadangan ini dipertimbang oleh pihak yang berkenaan demi menjaga kebajikan rakyat yang terjejas akibat banjir.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button