Semasa

Pertubuhan Islam UK seru tingkat kesedaran mengenai nasib Islam Uyghur

Ia bersempena Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing

LONDON : Sebuah pertubuhan Islam di UK menyeru semua yang terlibat dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing “untuk menggunakan setiap peluang untuk meningkatkan kesedaran mengenai nasib masyarakat Islam Uyghur.”

“Kira-kira 3 juta orang Uyghur telah ditahan di kem tahanan di mana mereka menjadi mangsa penyeksaan, rogol, pensterilan beramai-ramai, buruh paksa dan dipaksa untuk meninggalkan kepercayaan dan amalan Islam mereka,” kata Majlis Muslim Britain dalam satu kenyataan.

Ia berkata beberapa “atlet yang berani telah mengambil pendirian dan enggan mengambil bahagian, sebagai solidariti bersama mangsa.”

Presiden Majlis Pertubuhan Islam Britain (MCB), Zara Mohammed,  menyifatkan acara pelbagai sukan itu sebagai “Permainan Genocide dan “jenayah China terhadap Muslim Uyghur di Xinjiang, seperti yang didokumentasikan oleh NGO, mangsa terselamat dan pemerhati, adalah jenayah terhadap kemanusiaan.”

“Mereka telah digambarkan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh organisasi hak asasi manusia.

“Dengan semangat visi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, untuk ‘Membina Dunia yang Lebih Baik melalui Sukan’, kita tidak boleh membenarkan China menggunakan Sukan Genosid ini untuk menyembunyikan tindakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa semua mempunyai kewajipan moral untuk menonjolkan nasib orang Uyghur, dan berdiri teguh menentang ketidakadilan dan penindasan.”

MCB juga menyeru masyarakat antarabangsa “untuk menyokong gesaan agar Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) membuka siasatan terhadap kepimpinan kanan China kerana pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap orang Uyghur.”

Menurut data PBB, sekurang-kurangnya 1 juta orang Uyghur dipenjara di tempat yang digelar Beijing sebagai “pusat latihan vokasional” tetapi pakar sebaliknya menganggap ia tempat untuk indoktrinasi, penderaan dan penyeksaan.

Sebanyak 1.6 juta orang Uyghur telah meninggalkan China untuk menetap di luar negara, menurut Kongres Uyghur Sedunia.

Kumpulan hak asasi manusia, termasuk Human Rights Watch dan Amnesty International, menuduh Beijing menindas 12 juta Uyghur, yang kebanyakannya beragama Islam.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button