Covid19Semasa

Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di penjara 5 bulan, denda RM12,000

Mengaku bersalah tidak patuhi SOP PKP

Tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 tahun, membuat pengakuan bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada jam 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada jam 3.58 petang, 14 Julai 2020.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didapati berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh yang sama.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dalam proses pertuduhan yang dilakukan di Wad I, Hospital Alor Setar.

Mohd Hadi kemudian mendapati tertuduh bersalah atas semua pertuduhan dan didenda RM3,000 dan penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan dengan hukuman penjara berjalan serentak.

Bagaimanapun, hukuman penjara tidak dapat berjalan lagi berikutan tertuduh masih dalam proses pemantauan di Hospital Alor Setar.

Media sebelum ini, melaporkan pengusaha kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Jitra, ditahan polis pada 23 Julai lalu, kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu berada di kedainya ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Akibat daripada perbuatannya itu, sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif COVID-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button