Covid19DuniaKemanusiaan

PBB hulur bantuan kepada Turki & Greece

28 maut, 800 cedera

NEW YORK: Dalam duka cita terhadap nasib menimpa Turki dan Greece, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia menghulurkan bantuan kepada kedua-dua negara itu yang terkesan dengan gempa bumi melanda Laut Aegean pada Jumaat.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, turut menzahirkan rasa duka cita terhadap tragedi yang mengorbankan puluhan nyawa dan mengakibatkan ratusan lain cedera.

Dujaaric berkata, Guterres turut mendoakan semua mangsa yang cedera supaya segera sembuh selain memuji usaha pantas dilaksanakan pasukan berkuasa tempatan.

Pada kejadian Jumaat itu, sekurang-kurangnya 28 penduduk di Turki dan Greece terkorban selepas gempa bumi ganas melanda pantai di pulau Greek di timur Laut Aegean.

Berdasarkan laporan berita, gempa turut mengkaibtakan 800 cedera dan ramai lagi hilang tempat tinggal.

Gegaran turut mencetuskan ombak kuat yang melanda kawasan pesisiran pantai dan kepulauan di Turki dan Greece.

Usaha menyelamat dijalankan secara berterusan sepanjang malam terhadap mangsa yang berada di bawah runtuhan konkrit daripada bangunan yang musnah di bandar di pesisiran pantai Turki di Izmir.

Menteri Alam Sekitar dan Perbandaran Turki, Murat Kurum, berkata sehingga kini kira-kira 100 mangsa yang terselamat dibawa keluar daripada runtuhan.

Dalam laporan media kerajaan yang memetik maklumat Agensi Bencana Nasional Turki, Afad, menyatakan kerja menyelamat terjejas akibat hampir 400 gempa susulan, dengan 33 daripadanya lebih kuat daripada skala 4.0.

Sementara itu, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkir mengingatkan bahawa bencana alam tidak mengenal sempadan negara.

“Atas sebab itu kita harus saling mengingati aspek kemanusiaan antara satu sama lain selain berkongsi pengalaman dan bekerjasama menangani ancaman berkenaan, ” Volkan Bozkir

Agensi pelarian PBB, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pula menyatakan solidariti terhadap rakyat Turki dan Greece dengan menyatakan bahawa doa mereka ditujukan buat mangsa yang terjejas akibat bencana alam itu. – UN News

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button