Semasa

Pasangan saintis bangunkan Vaksin Covid-19 pertama berkesanan tinggi

Menghambakan diri dalam R&D penyakit berjangkit

JERMAN : Sepanjang hidup mengabdikan diri kepada bidang penyelidikan dan pembangunan penyakit berjangkit dan onkologi.
Pasangan saintis suami isteri, Ugur Sahin dan Ozlem Tureci akhirnya terkenal di seluruh dunia apabila berjaya membangunkan vaksin Covid-19 yang pertama dengan keberkesanan tinggi.
Sahin, 55, dan Tureci, 53, menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada tahun 2008.
Isnin lalu, BioNTech bersama syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer mengumumkan ujian klinikal vaksin mereka menunjukkan kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam mencegah jangkitan COVID-19.
Menurut Reuters, berasal daripada keluarga yang sederhana, iaitu anak kepada seorang migran Turki di Jerman, Ketua Eksekutif BioNTech Sahin bersama isterinya Tureci kini antara 100 individu paling kaya di Jerman.
Matthias Kromayer, salah seorang ahli lembaga firma MIG AG yang menyokong BioNTech sejak awal penubuhannya berkata, walau pasangan ini berada di puncak mereka tetap merendah diri.
Pasangan itu, sebelum ini pernah juga menubuhkan syarikat Ganymed Pharmaceuticals pada tahun 2001 untuk membangunkan antibodi yang melawan kanser, kemudian dijual pada nilai AS$1.4 bilion pada 2016.
Sahin dilahirkan di Iskenderun, Turki dan kemudian berpindah ke Cologne, Jerman pada usia empat tahun.
Beliau pertama kali berjumpa dengan isterinya, Tureci, ketika kedua-dua saintis itu memulakan karier akademik mereka.
Tureci, anak kepada seorang ahli fizik warga Turki, turut merupakan migran di Jerman.
Minat yang sama dikongsi mereka, dan terlalu menjiwai bidang mereka dibuktikan apabila Tureci, menceritakan kepada media bahawa pasangan itu terus kembali ke makmal menjalankan penyelidikan sebaik majlis perkahwinan mereka.
Memetik laporan CNN, Sahin pada Selasa meluahkan rasa positif dengan perkembangan vaksin itu yang diharap dapat membawa kebaikan kepada seluruh kemanusiaan.
“Saya berpandangan mesej baik untuk kemanusiaan sekarang ialah kami kini memahami bahawa jangkitan COVID-19 boleh dicegah oleh vaksin,” ujar beliau.
Vaksin itu dijangka mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika (FDA) dalam masa terdekat. – AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button