Semasa

Paras air Sungai Golok naik lebih 10 meter

Rantau Panjang dinaiki air

RANTAU PANJANG : Pekan Rantau Panjang mula dinaiki banjir susulan paras air Sungai Golok yang semakin tinggi dengan bacaan 10.34 meter, setakat jam 9 pagi tadi.

Menurut  Harian Metro di kawasan zon bebas cukai itu mendapati, air mula mengalir memasuki pekan terbabit, tetapi masih boleh dilalui kereta dan motosikal kecuali di kawasan Kampung Kedai Lama, kerana air yang melintasi jalan itu agak tinggi dan deras.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata trend paras air juga menunjukkan peningkatan ketara sejak awal pagi, hari ini, disebabkan taburan hujan serta aliran air dari hulu sungai.

“Paras air di kawasan pekan Rantau Panjang dijangka lebih tinggi jika aras sungai terus bertambah. Berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, pusat pekan terbabit boleh dinaiki air separas 0.3 sehingga 0.5 meter. Jika situasi berkenaan berlaku, tiada lagi kenderaan ringan yang boleh melalui jalan masuk ke pekan Rantau Panjang selain operasi perniagaan juga ditutup sepenuhnya.”

“Air berkemungkinan besar naik dengan lebih cepat hari ini melihat kepada cuaca yang agak mendung dan berangin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Imran berkata, beberapa penempatan rendah sudah dinaiki air sejak dua hari lalu seperti di Kampung Gual Tokdeh, Kampung Lalang Pepuyu, Kampung Rahmat dan Kampung Putat Tujuh, di sini.

“Pihak kami turut menerima laporan bahawa penduduk juga dilihat sudah mula berpindah menyelamatkan diri sejak malam tadi selain membawa kenderaan mereka untuk diparkir di tempat selamat bagi mengelak ditenggelami banjir.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan tidak mengambil mudah isu keselamatan semasa banjir supaya tidak ada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, mereka yang bermain air banjir berkumpulan di Pasir Mas, Rantau Panjang boleh dikompaun RM1,000.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button