Kemanusiaan

Pandemik serlahkan semangat kesukarelawanan

Aktivis terus curah bakti dalam & luar negara

Semangat kesukarelawanan tidak dapat dipisahkan dengan  sifat kemanusiaan yang ada dalam diri seseorang insan.

Setiap  5 Disember, tarikh itu telah diangkat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak  tahun 1955 sebagai  hari menghargai Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Ia juga sebagai satu pengiktirafan terhadap gerak kerja dan aktiviti sukarelawan di seluruh dunia daripada semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Bukan semuanya negatif ekoran penularan wabak Covid-19 sebaliknya pandemik itu telah membangkitkan jiwa kemanusiaan kepada ramai rakyat Malaysia dan juga penduduk dunia amnya.

Walapun bimbang diri sendiri dijangkiti Covid-19 ramai sukarelawan tampil membantu di zon yang dibenarkan di hospital awam.

Manakala yang lainnya menjahit baju perlindungan kepada petugas kesihatan, PPE serta pelbagai tugasan lain yang sesuai mengikut kemampuan dan latar belakang pekerjaan hakiki mereka.

Majoriti yang lainnya pula membantu menyampai dan mengagihkan makanan, barang keperluan dan kesihatan kepada yang terputus bekalan akibat pelaksanaan perintah berkurung yang dilaksanakan di seluruh dunia.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, PBB, juga menghargai setiap jasa sukarelawannya yang seramai 8,282 orang dari 100 latar belakang profesion yang berbeza.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam ucapannya sempena Hari Sukarelawan Dunia berkata, semua kerajaan di dunia disaran mempromosikan kesukarelawanan kepada rakyatnya, malah menyokong segala usaha sukarelawan.

 

 

Beliau yang menghargai peranan para sukarelawan juga mahu sumbangan golongan itu kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari Penduduk Dunia, perlu diangkat.

Lebih-lebih lagi mereka yang bertugas di medan peperangan dan konflik rantau, serta negara diancam bencana alam.

Di Malaysia sahaja, kepelbagaian NGO merancak dan memeriahkan aktiviti kemanusiaan.

Menyebut beberapa nama, seperti  NGO yang pakar dalam bidang perubatan seperti (MERCY Malaysia), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) dan Malaysian Relief Agency (MRA).

Tanpa berpihak kepada mana-mana pihak NGO kemanusiaan kini bagai cendawan dengan pelbagai misi dan matlamat mereka tersendiri.

Kebiasaannya, NGO kemanusiaan adalah antara yang awal bertindak ke tempat kejadian yang membabitkan  pelanggaran  besar hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan.

 

Jenis bantuan yang dihantar oleh NGO juga adalah secara meluas dan dalam bentuk yang berbeza, sama ada serta-merta, jangka pendek dan juga untuk pembangunan jangka masa panjang.

Beamon dan Balcik menjelaskan penglibatan NGO hak asasi manusia dalam dua jenis aktiviti: a) Aktiviti bantuan: bantuan untuk mangsa kecemasan berskala besar.

Aktiviti- aktiviti ini berbentuk jangka masa pendek dalam memberi tumpuan kepada menyediakan perkhidmatan kepada kesihatan manusia dan kelangsungan hidup.

Manakala kedua, b) Aktiviti pembangunan: bantuan jangka masa panjang, memberi tumpuan kepada sara
diri dan kemampanan.

Aktiviti-aktiviti ini kata Beamin dan Balcik, termasuk pembinaan yang kekal, pengangkutan, makanan, penjagaan kesihatan dan perumahan.

Dalam konteks, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia, pembabitan sukarelawannya dapat dilihat dalam gerak kerja dalam dan luar negara.

Baru-baru ini, Ketua Aktivis Kemanusiaannya, (Dr.) Sani Araby Al Kahery berkata MAPIM menggandakan usaha dalam dan luar negara dalam membantu kebajikan ummah.

Beliau yang kini berada di sempadan Turki-Syria sedang meneruskan misi kemanusiaan RescueSyria, bersama beberapa aktivis.

Heliza & Hazwani Helmi turun padang beri makanan kepada anak-anak pelarian Syria di Azaaz
Sani Araby memakaikan beg sekolah baru kepada anak-anak Syria bersempena pembukaan Sekolah Wakaf MAPIM Malaysia ke-39 di pinggir Idlib, Syria

Menyelami keperitan nasib pelarian Syria, MAPIM baru sahaja merasmikan sekolah rendah untuk anak-anak pelarian, sekolah MAPIM ke-39.

Banyak lagi usaha dijalankan oleh MAPIM termasuk membina sekolah, perkampungan Syria serta mengatur susun perancangan demi untuk kelangsungan hidup dan pembangunan sosioekonomi golongan pelarian itu untuk kehidupan di masa hadapan mereka.

Manakala di dalam negara, MAPIM Malaysia terus menyantuni baik petugas barisan hadapan dan juga orang awam, pelarian, pendatang yang teraniaya dan siapa yang layak menerima bantuan.

Pengarah domestiknya, Haji Faris Hussain, berkata usaha ini perlu dilakukan kerana MAPIM bukan hanya menjalankan misi ke luar negara sebaliknya sentiasa terbuka berkhidmat untuk sesiapa sahaja.

Gerak kerja juga katanya setiap hari dilakukan, terutama selepas dunia dibadai wabak Covid-19 yang menyaksikan ramai hilang punca pendapatan dan perlukan bantuan dari segala segi.

Antaranya aktivis menghantar pesakit, membantu mangsa banjir dan kerja-kerja pembersihan, pembinaan rumah asnaf di utara Semenanjung serta pelbagai lagi yang telah MAPIM Malaysia tunaikan dalam misi Jelajah Peduli Ummah.

Menurut Jurnal Perubatan Berdasarkan Bukti, kajian yang dilakukan oleh Stephanie Tierney dan Kamal R Mahtani (Apr 2020) peningkatan penyertaan orang ramai di seluruh dunia kepada kerja-kerja sukarelawan dipengaruhi beberapa faktor.

Antara yang digariskan beliau ialah, faktor ingin memberi balik – melihat kepada  nasib mereka yang terkesan dan memikirkan peranan yang boleh diberikan semula, misalnya doktor perubatan yang telah bersara membantu kembali pesakit Covid-19.

Juga golongan jurutera yang cuba mereka dengan segala bahan yang ada membuat alat respirasi yang tidak mencukupi di beberapa negara yang dilanda Covid-19.

Kaedah menunjukkan solidariti atau kesatuan dalam sesuatu isu juga antara menyebabkan sikap kesukarelawanan meningkat.

Ustaz Ebit Liew menjadi figura yang juga dekat dihati masyarakat keran santun khidmatnya

Selain itu simpati terhadap kesedihan mereka yang terkesan juga menjentik hati masyarakat, lantas menjadi para sukarelawan, setelah memikirkan sekiranya mereka berada di tempat orang yang dibantu.

Apa pun dari sudut Islam, sikap membantu antara sesama manusia telah lama disarankan oleh Baginda Rasulullah SAW, kerana besar maknanya bagi seorang manusia yang mampu memanfaatkan manusia lain seperti dalam hadis berikut:

“Barang siapa di antara kamu yang mampu memberikan manfaat kepada saudaranya maka hendaklah ia bersegera memberikan manfaat kepadanya.” – (Riwayat Muslim)

Kepada semua sukarelawan, tahniah dan terima kasih!

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button