Covid19EkonomiSemasa
Trending

RM250 Billion Untuk Rakyat Hadapi Krisis COVID-19

'No one will be left behind'

Penantian seluruh rakyat Malaysia akhirnya terjawab hari ini apabila YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap secara langsung membentangkan plan kewangan kerajaan yang dinamakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk manfaat rakyat yang ketika ini semakin dihimpit dengan masalah kewangan akibat krisis COVID-19.

Beliau berkata Sebanyak RM250 bilion telah diperuntukkan melalui pakej PRIHATIN ini di mana RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara. Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Antara bantuan yang diumumkan termasuklah elaun khas tambahan buat petugas barisan awam terdiri daripada doktok, jururawat dan petugas kesihatan yang lain serta elaun khas buat anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta RELA yang terlibat secara langsung bermula 1 April 2020 sehingga wabak COVID-19 berakhir.

Selain daripada itu kerajaan juga akan menyalurkan hampir RM10 bilion melalui Bantuan Prihatin Nasional iaitu pemberian tunai secara one-off untuk semua kategori termasuklah M40 dan ke bawah. Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sedang dilaksanakan pula akan dibayar pada bulan Julai 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM3.2 bilion.

Pelbagai pengecualian pembayaran sementara yang turut diperkenalkan melalui pakej PRIHATIN ini yang dilihat dapat membantu meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh rakyat. Di antaranya termasuklah penangguhan bayaran balik PTPK, pengecualian sewa PPR, DBKL serta premis milik kerajaan Persekutuan.

Di samping itu, kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberikan diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.

Bagi industri telekomunikasi dan multimedia, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi. Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja. Menerusi program ini Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan. Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020. Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Setelah selesai mengumumkan kesemua perkara dalam pakej PRIHATIN, YAB Perdana Menteri dalam ucapan penutupnya meminta sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu mengharungi krisis ini bersama-sama.

Saudara saudari yang saya kasihi,

Kita adalah sebuah negara yang sedang berperang dengan sesuatu yang tidak kelihatan. Keadaan yang kita hadapi sekarang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Dan, kerajaan ini bukanlah kerajaan yang anda pilih. Tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini mengambil berat tentang anda.

Saya telah menerima hakikat bahawa saya memegang jawatan Perdana Menteri anda tidak pada masa yang terbaik. Saya menghadapi krisis politik, ekonomi dan kesihatan pada masa yang sama. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini tentu memerlukan langkah yang belum pernah dilakukan.

Oleh itu, saudara dan saudariku, dan anak-anak tanah air tercinta ini, sama ada anda orang Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, berilah kepada saya dan sahabat- sahabat saya di  dalam kabinet dan kerajaan. Kami tidak sempurna, tetapi kami sedang melakukan yang terbaik untuk mengatasi krisis ini bersama sebagai satu negara.

InsyaAllah, kita akan keluar dengan lebih kuat apabila krisis ini berakhir dan semuanya kembali normal. InsyaAllah.

– YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin

Teks penuh pengumuman pakej PRIHATIN boleh didapatkan di sini.

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button