Dunia

Negara dunia gesa demokrasi di Myanmar dipulihkan

Amerika Syarikat beri amaran ambil tindakan sekiranya demokrasi diketepikan

YANGON : Amerika Syarikat bersama negara lain di seluruh dunia menggesa demokrasi dipulihkan di Myanmar selepas rampasan kuasa oleh tentera dan penangkapan pemimpinnya, Aung San Suu Kyi serta ahli politik lain.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, dalam satu kenyataan, menegaskan AS akan ‘mengambil tindakan’ terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya langkah pemulihan demokrasi itu tidak disegerakan.

Katanya, AS menentang segala usaha untuk mengubah keputusan pilihan raya November lalu, yang menyaksikan parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi memang besar.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, turut meminta tentera Myanmar membebaskan semua pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat sivil serta menghormati kehendak rakyat dalam pilihan raya 8 November lalu.

China, yang kerap menentang campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, meminta semua pihak bekerjasama untuk mencari penyelesaian.

“Undang-undang perlu dipatuhi bagi melindungi kestabilan politik dan sosial,” kata jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin.

Nada sama disuarakan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang mengecam penahanan Suu Kyi, Presiden Myanmar, U Win Myint dan pemimpin lain.

Kementerian Luar Jepun, dalam kenyataannya, menggesa tentera memulihkan sistem politik demokratik di Myanmar dengan segera serta mendesak pembebasan Suu Kyi.

Sementara Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, mengutuk keras rampasan kuasa itu dan minta semua pihak menerima serta mematuhi keputusan pilihan raya.

“Kami meminta tentera menghormati undang-undang, menyelesaikan perselisihan melalui mekanisme yang sah dan segera membebaskan semua pemimpin serta mereka yang ditahan secara tidak sah,” kata Menteri Luar Australia, Marise Payne.

Kementerian Luar India, dalam satu kenyataan, berkata pihaknya Kami meneliti perkembangan di Myanmar secara mendalam.

“India sentiasa tegas menyokong proses peralihan demokratik di Myanmar dan kami percaya kedaulatan undang-undang serta proses demokrasi mesti ditegakkan,” katanya.

Kementerian Luar Singapura dan Kementerian Luar Indonesia turut menyatakan keprihatinannya mengenai perkembangan terbaru di Myanmar, dengan harapan semua pihak bertenang bagi mencapai keputusan terbaik.

Kementerian Luar Norway, dalam ciapan di Twitter, mengecam perkembangan di Myanmar dan mendesak pemimpin tentera mematuhi undang-undang demokratik serta menghormati keputusan pilihan raya. – AFP.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button