DuniaPolitikSemasa

Mungkinkah Keganasan di Delhi Bakal Membuka Babak Gelap Yang Baru Dalam Sejarah Moden India

Kerajaan India masih lagi dilihat gagal dalam mengawal situasi tegang yang berlaku berikutan perundangan baru melibatkan akta kerakyatan yang diluluskan dan mencetus kontroversi di kalangan penduduk tempatan.  Perundangan itu membolehkan kerakyatan diberi kepada jutaan pendatang haram yang memasuki India dari tiga negara jiran pada atau sebelum 31 Disember 2014 dan ianya sah hanya jika mereka tidak beragama Islam.

Setakat ini lebih 50 kematian dan ratusan yang tercedera telah direkodkan akibat rusuhan yang berlaku di antara masyarakat Muslim dan Hindu nasionalis di serata India termasuklah ibu negara Delhi. Rata-rata pembunuhan dan kemusnahan berlaku ke atas masyarakat Muslim tanpa mengenal usia. Rumah, premis perniagaan serta masjid dibakar manakala harta peribadi dibuang ke tengah jalan seperti tiada nilai.

Parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) dilihat seolah-olah bersekongkol dalam penindasan ini apabila tiada tindakan segera diambil setelah krisis bermula sejak Disember yang lalu setelah pengumuman berkenaan undang-undang tesebut dibuat. Malah dalam satu perhimpunan pilihanraya pada 7 Februari yang lalu, junior Menteri Kewangan telah menghasut orang awam untuk melaungkan ucapan berbaur kebencian yang berbunyi “shoot the traitors” (tembak pembelot) sementara menteri BJP yang lain, Parvesh Verma, bersumpah bahawa partinya akan menghukum dengan “rape and kill” (rogol dan bunuh) sekiranya masih ada yang berbaki di India.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India Nerendra Modi menuduh penunjuk perasaan bersifat anti-India dan pro-Pakistan. Tiada tindakan dari pihak berkuasa yang dilaporkan untuk mencegah keganasan manakala polis dituduh menyebelahi puak ekstremis Hindu.

Sejarah hitam India pada 1984 dan 2002

Jika diperhatikan semula kejadian rusuhan dan anti Muslim tersebut, umum seharusnya sedar ini mungkin permulaan kepada berulangnya sejarah buruk yang merekodkan pembunuhan besar-besaran yang pernah dilakukan oleh ektrimis Hindu ke atas kumpulan agama yang lain di India. Dua peristiwa yang boleh dirujuk adalah pada 1984 yang meragut lebih 3,000 nyawa penganut agama Sikh dan hampir 1,000 nyawa Muslim pada 2002.

Kedua-dua tragedi tercetus apabila puak ekstrimis Hindu dilihat menghukum sebuah agama yang dianggap sebagai ancaman kepada masyarakat mereka sebagai rakyat majoriti di India. Sebagai contoh apabila berlakunya kes pembunuhan Perdana Menteri Indira Gandhi pada t31 Oktober 1984 yang dilakukan oleh dua pegawai keselamatannya yang beragama Sikh, puak ekstrimis India bangkit dengan memberi serang balas dalam satu operasi besar-besaran membunuh komuniti Sikh yang sebelumnya telah menjadi mangsa operasi ketenteraan di bawah arahan Indira.

Dalam kejadian berasingan pada tahun 2002 pula, atas tuduhan membakar sebuah keretapi yang membawa pulang rombongan penganut Hindu dari acara keagamaan dan menyebabkan hampir 60 orang terbunuh, puak ekstrimis Hindu melancarkan pembunuhan besar-besaran ke atas umat Islam sebagai balasan walaupun tiada bukti kukuh yang menyatakan perkara tersebut. Muslim dikatakan membakar keretapi tersebut kerana berdendam atas sebab perobohan masjid  oleh komuniti Hindu bagi membina kuil untuk dewa Ram.

Di dalam kedua-dua insiden ini, pihak polis dikatakan sengaja mengabaikan tugas mereka, sama ada dengan berdiam diri atau dalam beberapa kes, membantu dan bersubahat dengan kumpulan pembunuh.

Ahli politik India atau ekstrimis Hindu?

Nasib umat Islam di India kini masih dalam tanda tanya walaupun kini angka kematian mungkin akan meningkat. Perbezaan yang nyata antara tragedi 1984 dan 2002 dengan isu yang sedang berlaku hari ini adalah peristiwa berdarah lalu tercetus akibat daripada tindakan segelintir individu daripada komuniti yang diserang, namun perihal itu tidak berlaku dalam isu kerakyatan baru-baru ini. Malah satu-satunya perkara yang umat Islam lakukan adalah dengan memprotes secara aman terhadap undang-undang kewarganegaraan yang baru dan diskriminasi negara tanpa meragut mana-mana nyawa.

Namun kenyataan hari ini, dunia melihat umat Islam dibunuh hanya kerana ingin menjadi rakyat India. Dan para ekstrimis tidak perlu lagi alasan untuk  menahan diri mereka dari terus melalukan keganasan. Nasib 200 juta umat Islam di India kini ibarat berada di hujung tanduk.

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button