Semasa

MUIS, SFA siasat dakwaan daging tidak halal diimport dari Malaysia

Hanya daging & produk daging diiktiraf SFA boleh diimport ke Singapura

SINGAPURA : Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang menyiasat dakwaan yang tular di media sosial bahawa daging beku yang dibungkus semula dengan logo Halal oleh sebuah sindiket di Malaysia, mungkin diimport ke Singapura.

Baru-baru ini, kecoh di Malaysia melaporkan bahawa sebuah sindiket kartel daging yang berpangkalan di Malaysia menyeludup masuk, membungkus semula daging-daging beku tidak halal dengan logo halal untuk dijual di Malaysia.

Menurut MUIS, terdapat catatan yang dikongsi secara meluas di media sosial yang melahirkan keprihatinan bahawa daging-daging beku berkenaan mungkin diimport ke Singapura.

Di samping dakwaan bahawa perbuatan serupa dalam hal mengimport dan membungkus daging halal mungkin juga berlaku di Singapura.

Dalam kenyataan media berkenaan, MUIS dan SFA menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat dakwaan yang dibuat bagi mengelakkan pasar raya di Singapura terjejas oleh penipuan yang dibuat.

Sehubungan itu, MUIS juga menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara tersebut.

MUIS juga menekankan pihak berkuasa Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang hasil siasatan itu atau menyebarkan berita palsu.

Tegasnya, hanya daging dan produk daging dari pertubuhan luar negara yang diiktiraf SFA boleh diimport ke Singapura.

Daging dan produk daging import juga tertakluk kepada program pengawasan keselamatan makanan SFA bagi memastikan ia memenuhi keperluaan import dan piawai pengawalseliaan SFA.

Selain itu, daging yang diimport untuk pasaran Halal dan pemegang sijil MUIS mesti memenuhi keperluan halal.

MUIS mempunyai proses berhemah bagi memastikan daging-daging import yang diberi kelulusan oleh badan perakuan asing memenuhi keperluan tertentu yang ditetapkan badan itu.

MUIS turut memberi jaminan bahawa produk daging bersijil halal yang diimport dari luar negara ke Singapura boleh dimakan tanpa rasa was-was.

MUIS turut menarik perhatian bahawa pihak berkuasa berkaitan di Malaysia juga memberi jaminan kepada pelanggan tempatan tentang produk-produk daging bersijil halal di negara itu.

Orang ramai dinasihati supaya berhati-hati ketika membeli produk-produk daging dari luar negara. -BeritaMediaCorp

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button