Covid19PolitikSemasa

Mesyuarat Khas Raja-raja Melayu bermula!

Tumpuan semua rakyat hari ini

KUALA LUMPUR : Semua rakyat hari ini pastinya tertumpu kepada Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang tadi.

Istana Negara menjadi fokus utama kerana Raja-Raja Melayu akan membincang dan memperincikan cadangan dikemukakan Mesyuarat Khas Kabinet berhubung isu-isu semasa.

Raja-raja Melayu mula hadir di Istana Negara bagi mengadakan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membincangkan cadangan yang dipersembahkan kerajaan, khususnya mengenai penularan COVID-19

Terdahulu, kenderaan rasmi yang membawa Yang di-Pertuan Agong, dilihat masuk ke Istana Negara pada jam 12.23 tengah hari.

Ketika melalui pintu masuk ke istana kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, Seri Paduka menurunkan cermin tingkap kenderaan membawa baginda sebelum melambai kepada kumpulan pengamal media yang menunggu di pintu istana.

Pada jam 1:30 tengah hari, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar adalah di antara Raja-raja Melayu yang terawal tiba di Istana Negara.

Keberangkatan baginda dilaporkan dalam laman Facebook rasmi Baginda.

Memetik Berita Harian semua Sultan bersama Raja Perlis dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah pun tiba di Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas Raja-Raja Melayu ini untuk membincang dan memperincikan syor dikemukakan kerajaan berhubung isu-isu semasa.

Baginda semua menyusul selepas ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mesyuarat khas berkenaan turut disertai Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Sehingga jam 3 petang tadi, hanya kelibat masuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang tidak dilihat masuk ke Istana Negara melalui pintu utama.

Berita Harian juga melaporkan – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba pada jam 2.15 petang, diikuti Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah beberapa minit kemudian dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada jam 2.22 petang.

Ia disusuli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada jam 2.24 petang, diikuti Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail kira-kira empat minit kemudian dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada 2.30 petang.

Sebuah helikopter yang mendarat di Istana Negara juga mencetuskan persoalan orang ramai apakah ada dalam kalangan Sultan dan Raja-raja Melayu yang tidak menaiki kenderaan darat ke Istana Negara bagi mesyuarat khas ini.

Pic: Berita Harian
Ini bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada Seri Paduka.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.

Jumaat lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Abdul Aziz di Indera Mahkota, Kuantan.

Petang ini, Raja-Raja Melayu dijangka bermesyuarat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya, pagi Jumaat lalu.

Pada petang hari sama, Muhyiddin bersama beberapa Menteri Kabinet menghadap Seri Paduka di Istana Abdulaziz di Kuantan Pahang.       – BERNAMA/ Berita Harian/ FB Rasmi Sultan Johor.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button