Covid19

Menteri Kesihatan Indonesia yang baharu

Ganti Terawan yang dipertikai tidak cekap tangani pandemik

JAKARTA :  Indonesia kini mencatat 7,514 kes positif baru COVID-19 pada 23 Disember, harapan kini tertumpu pada Menteri Kesihatan yang baru dilantik untuk menangani jangkitan virus yang terus meningkat.

Budi Gunadi Sadikin, 56, mengangkat sumpah sebagai menteri kesihatan republik itu – menggantikan Terawan Agus Putranto.

“Saya percaya bahawa jika kita bersatu, bersama dengan pemerintah daerah, … kita dapat membangun sistem perkhidmatan kesihatan awam yang kuat dan siap untuk menyelesaikan masalah SARS CoV-2,” – Budi Gunadi Sadikin

Demikian ucapan awal Budi Gunadi di Istana Presiden di Bogor.

Enam menteri baru, termasuk Budi Gunadi, yang terlibat dalam rombakan kabinet Presiden Joko Widodo, dilantik di Istana Presiden di Bogor pada hari Rabu.

Berdasarkan data Badan Pengurusan Bencana Nasional Indonesia di Twitter (@BNPB_Indonesia) pada hari Rabu, 151 kematian lagi disebabkan oleh COVID-19 dilaporkan, menjadikan jumlah korban menjadi 20,408.

Sebelum ini Terawan Agus Putranto. dikritik hebat kerana dikatakan gagal menjalani tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan.

Dia didakwa tidak cekap dalam mengendalikan wabak COVID-19 yang semakin buruk.

Petisyen menolak Terawan dimulakan Oktober lalu, oleh Jaringan Nasional Advokasi Pekerja Rumah Tangga (JALA PRT); ketua majlis eksekutif pelajar Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN Jakarta), Sultan Rivandi; ketua Badan Eksekutif Pelajar Universiti Indonesia (BEM UI), Manik Marganamahendra, Irma Hidayana dari komuniti Lapor COVID-19 dan Supinah sebagai wakil pekerja.

Sehingga hari ini, lebih 6,000 orang menandatangani petisyen itu.

“Sejak awal, menteri mengambil mudah mengenai wabak ini. Beliau tidak serius dalam menanganinya (wabak). Beliau juga tidak dapat mengatasi isu seperti melindungi pekerja kesihatan dan membendung penularan COVID-19,” kata petisyen itu.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button