Semasa

Matahari terbit arah utara bukan tanda kiamat!

Paksi bumi condong punca matahari terbit dari utara

KUALA LUMPUR : Matahari terbit dari arah utara bukanlah perkara ganjil malah ia senario yang sering berlaku setiap tahun jika masyarakat peka dengan fenomena alam.

Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak Jabatan Mufti Selangor, Hardi Sadali, berkata fenomena matahari condong sedikit ke arah utara pada bulan Jun dan condong sedikit ke arah selatan pada bulan Disember adalah fenomena biasa setiap tahun.

Hal ini kerana, kedudukan matahari terbit dan terbenam akan sentiasa berubah berikutan kecondongan paksi bumi sebanyak 23.5 darjah ketika bumi mengelilingi matahari pada orbitnya.

Ketika dihubungi Wartawan UmmahToday, beliau mengulas lanjut kejadian ini tidak memberi kesan terhadap cuaca di negara Malaysia seperti negara-negara Eropah yang mengalami musim panas dan Australia serta New Zealand musim sejuk.

Baru-baru ini tular di media sosial rakaman video di Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia peristiwa matahari terbit dari arah timur dan mengaitkan kejadian itu sebagai satu petanda kiamat.

Merujuk pada foto yang dimuat naik Balai Cerap Selangor di Facebook, paparan imej perubahan kedudukan terbit matahari di Dabouq, Amman, Jordan pada Disember 2018 hinggan Disember 2019.

Imej matahari terbit di Dabouq, Amman, Jordan menunjukkan perubahan kedudukan matahari pada awal Disember 2018 hingga Disember 2019 – Sumber Facebook : Balai Cerap Selangor

Mengulas lanjut, pada Solstis Disember, matahari berada pada kedudukan paling jauh ke selatan dari Khatulistiwa iaitu di atas garisan, ia menandakan bermulanya musim sejuk di hemisfera utara dan musim panas di hemisfera selatan.

Lain pula pada Solstis Jun, matahari berada pada kedudukan paling jauh ke utara dari Khatulistiwa iaitu di atas garisan Sartan.

Menandakan bermulanya musim panas di hemisfera utara dan bermulanya musim sejuk di hemisfera selatan.

Manakala, kedudukan matahari ketika Ekuinoks Mac dan September pula berada tepat di atas garisan Khatulistiwa.

Ekuinoks Mac menunjukkan bermulanya musim bunga di hemisfera utara dan bermulanya musim luruh di hemisfera selatan, walhal ia berlaku sebaliknya pada Ekuinoks September.

Oleh : Wartawan UmmahToday, Nurshazlin Shahrom – Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)

 

Related Articles

Back to top button