Covid19Dunia

Masyarakat Islam Sri Lanka desak jenazah Covid-19 tidak dibakar

Petisyen ditolak tanpa alasan

COLOMBO : Masyarakat Islam Sri Lanka, memfailkan 12 petisyen di Mahkamah Agung negara itu bagi menuntut supaya jenazah orang Islam, yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak dibakar.

Bagaimanapun tuntutan komuniti minoriti dan kumpulan masyarakat sivil itu ditolak.

Kerajaan Sri Lanka menyatakan yang negara itu akan membakar jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam, biarpun keluarga mangsa menentang terhadap dasar kontroversi terbabit.

Jenazah mangsa COVID-19 boleh dituntut waris mangsa tetapi perlu dibakar di bawah pengawasan ketat pihak kesihatan, suatu amalan yang dilarang mengikut Islam.

Namun, 19 keluarga mangsa COVID-19 Islam yang meninggal dunia, setakat ini menolak daripada menuntut jenazah dari bilik mayat di ibu kota Colombo, sehingga Peguam Negara, Dappula de Livera, terpaksa mengeluarkan perintah.

 

“Jenazah mangsa COVID-19 yang tidak dituntut keluarga boleh dibakar mengikut peraturan kuarantin,” kata jurucakap De Livera, sambil menambah bahawa pembakaran akan dibuat pada minggu ini.

Menurut polis, setakat semalam lima jenazah sudah dibakar.

Pihak polis dicabar masyarakat Islam negara itu menerusi 12 petisyen difailkan komuniti minoriti dan kumpulan masyarakat sivil di Mahkamah Agung, namun ditolak minggu lalu tanpa sebarang alasan.

Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bulan lalu mendesak Colombo supaya mengizinkan umat Islam menguburkan anggota keluarga mereka mengikut kepercayaan dan kewajipan agama.

Sri Lanka mewajibkan mayat mangsa COVID-19 dibakar sejak April lalu di tengah-tengah kebimbangan yang disebarkan sami Buddha berpengaruh yang menyokong Presiden, Gotabaya Rajapaksa, kononnya mayat yang dikebumikan mampu mencemari air bawah tanah dan menyebarkan penyakit.

Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pengebumian dan pembakaran mayat dibenarkan.

Wujud ketegangan berterusan di antara umat Islam yang mewakili 10 peratus daripada 21 juta penduduk Sri Lanka dengan majoriti etnik Sinhala yang kebanyakannya beragama Buddha, selepas militan tempatan dituduh dalang pengeboman Easter 2019. – AFP

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button