Covid19PolitikSemasa

“Masa sudah tiba untuk gencatan politik!”

Utamakan santuni dan dekati hati rakyat - MAPIM Malaysia

BANGI : Sudah tiba masanya semua parti politik tanpa mengira latar belakang parti di Malaysia melakukan gencatan politik dan menterjemahkan apa yang dizahirkan dalam titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia (Dr.) Sani Araby Al Kahery berpendapat titah Baginda menjadi satu pemutus rasa cemas rakyat dalam satu isu yang amat berat,  iaitu perisytiharan darurat kerana rakyat tercongak-congak implikasi dan segala kemungkinan yang bakal terjadi.
“Justeru di pihak MAPIM, kita lihat titah Tuanku YDPA adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan sangat melegakan. Inilah masanya gencatan politik dilakukan di atas nama kepimpinan negara Malaysia. Tidak ada lagi perkataan pembangkang, tidak ada lagi perkataan kerajaan tetapi yang ada sekarang ialah kesemua Ahli Parlimen, kesemua ahli politik bersatu padu dan ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk pemimpin Malaysia.”
Menurut beliau, Malaysia bertuah kerana dalam sebarang krisis yang berlaku, institusi Diraja mengikat satu keputusan yang terbaik dalam satu-satu isu yang mencapai kebuntuan.
(Dr.) Sani berkata demikian ketika dihubungi Astro Awani bagi mendapatkan reaksi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung bersama menangani gelombang ketiga wabak Covid-19.
Wawancara itu diadakan melalui Skype di antara beliau dan pengacara Astro Awani, Hakim Rahman.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, memaklumkan hasil perbincangan dengan Raja-Raja Melayu, Al-Sultan Abdullah bertitah, tiada keperluan mengisytiharkan darurat selepas baginda merasakan kerajaan ketika ini berjaya menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Selain itu, katanya, Al-Sultan Abdullah juga bertitah menggesa ahli politik untuk menghentikan politik berlebihan yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Dalam kenyataan media Istana Negara semalam, Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Bagi pihak rakyat itu satu kelegaan yang besar apabila kita ini ada mempunyai satu lagi peringkat akhir dalam sebarang krisis iaitu perkenan DYMM Tuanku untuk melihat satu aspek dan apa yang diberikan nasihat oleh Tuanku  Sultan atau pun Sultan Melayu, memberi naratif baharu, secara mudahnya adalah gencatan politik” 
Tambah (Dr.) Sani, rakyat utamanya telah menghadapi pelbagai saat sukar ketika negara dibadai pandemik Covid-19 yang lalu dan kini walaupun sudah bersedia rakyat pastinya mahu terus dipandu di atas apa kemungkinan atau risiko yang bakal menimpa mereka.
Maka itu katanya MAPIM melihat gencatan politik itu harus dicapai untuk semua ahli parti politik dan juga ahli parlimen.
Pertemuan bersemuka dan menggunakan kebijaksanaan dan kematangan mereka yang ada untuk sama-sama bukan sahaja memerangi wabak Covid-19 tetapi juga, membantu rakyat yang semakin terkesan.
Merujuk apa yang berlaku di beberapa negara jiran, katanya ahli politik tempatan harus menggunakan kebijaksanaan mereka sekaligus menunjukkan kewibawaan mereka menangani masalah domestik rakyat.
“Sekarang ini rakyat menilai dan meminta daripada pihak pimpinan Malaysia untuk mereka juga menunjukkan kematangan yang sangat tuntas, yang sangat jelas untuk memberikan bukan sahaja pandangan tetapi pelaksanaan bagaimana kita dapat hentikan segala bentuk rasa cemas dalam hal politik tetapi kita bantu dalam hal Covid-19.”

Beliau juga berharap menjelang penutup tahun 2020 ini,  kesepaduan kerjasama dicapai di antara pihak kerajaan dan pembangkang di atas nama pemimpin Malaysia.

MAPIM Malaysia katanya melihat menyantuni rakyat, adalah perkara utama yang perlu digagaskan kini, oleh ahli politik dan bukan mengulangi perkara retorik – mereka perlu bertindak seolah melunaskan hutang kepada rakyat untuk mendekati hati rakyat.

Rakyat sendiri katanya menghulurkan sumbangan melalui NGO-NGO kepada barisan hadapan dan juga mereka yang memerlukan, sehubungan itu gencatan senjata ini adalah peluang untuk mereka mendekati rakyat sebagai agenda utama.

“MAPIM kita melihat dari sudut siapa sahaja menyantuni rakyat dia adalah frontliner itu paling asas. Saya kira rasa yang sama dikongsi oleh rakyat – siapa sahaja yg menyantuni rakyat yang turun dan membantu sama ada dalam apa sahaja keadaan mereka ini duduk di hati rakyat, mereka inilah yang kita sebutkan sebagai frontliner”.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button