Semasa

MAQIS rampas daging kambing dari New Zealand bernilai RM480,000

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas daging kambing dari New Zealand tanpa logo halal diiktiraf seberat 22,861 kilogram (kg) bernilai lebih RM480,000 di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), semalam.

Menurut sumber, pegawai MAQIS Pulau Pinang menahan sebuah kontena dipercayai membawa masuk bekalan daging, ‘Mutton Shoulder Bone In’ yang tidak menggunakan logo halal diiktiraf selain tiada label dalam pembungkusan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Pemeriksaan di dalam kontena kemudiannya menemukan ‘Mutton Shoulder Bone In’ seberat 22,861.16 kg bernilai RM482,527.32.

“Semakan melalui borang Kastam (K1) mendapati barangan berkenaan diimport sebuah syarikat beralamat di Selangor,” katanya hari ini.

ANTARA pek daging kambing dari New Zealand tanpa logo halal diiktiraf yang dirampas di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), semalam.

Beliau berkata, MAQIS Pulau Pinang menyita semua komoditi dan kontena yang dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta MAQIS 728 di mana logo halal yang digunakan dalam pembungkusan di luar kotak tidak menggunakan logo halal yang diiktiraf pihak berkuasa Malaysia.

Katanya, ia boleh dihukum mengikut seksyen sama dan di bawah Seksyen 15(1) Akta MAQIS 728.

“Kes juga disiasat mengikut kesalahan kerana tiada label di dalam pembungkusan bahagian dalam kotak seperti mana disyaratkan yang mana kesalahan itu pengimport boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama,” katanya.

– Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button