Covid19Semasa

Malaysia rekod kes kematian Covid-19 harian tertinggi

Meningkat 2 kali ganda 3 hari berturut-turut

KUALA LUMPUR : Jumlah kes kematian harian wabak Covid-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan sejak tiga hari ini.

Peningkatan yang berlaku ini juga menunjukkan corak, peningkatan sebanyak dua kali ganda pada tiga hari berturut-turut bermula 6 Januari.

Pada Rabu (6 Januari 2021), jumlah kes kematian adalah sebanyak empat kes, manakala semalam (7 Januari 2021) jumlahnya meningkat kepada lapan kes.

Hari ini, Malaysia telah merekodkan jumlah kes kematian tertinggi sejak penularan wabak berkenaan di Malaysia, dengan sebanyak 16 kes kematian (8 Jan)  iaitu dua kali ganda daripada semalam.

Menurut kes kematian hari ini, Covid-19 telah meragut 16 lagi nyawa membabitkan mereka yang berusia di antara 44 dan 79 tahun.

Merujuk kepada infografik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua mangsa wabak Covid-19 yang berusia 40-an ini mempunyai komplikasi obesiti.

Manakala mangsa-mangsa yang berusia 70-an pula mempunyai masalah kesihatan yang sama iaitu menghidap penyakit kencing manis dan juga darah tinggi.

Gambar – Twitter KKMalaysia

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menyatakan sebanyak 2,643 kes penularan Covid-19 baharu telah direkodkan pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif adalah sebanyak 131,108 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan di dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes.”

Manakala bilangan kes sembuh Covid -19 hari ini adalah sebanyak 2,708 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 105,431 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 25,140 kes.”

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara,” katanya.
Oleh : Nabil Najwan Zainuri (Pelajar Fakulti Animasi UiTM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button