Kerohanian

Illi Najwa mohon maaf, mengaku jahil hingga cetuskan persoalan murtad

Suami sudah peluk Islam

Kuala Lumpur: Illi Najwa Anuar Hussin Saddique tampil memohon maaf susulan majlis resepsi perkahwinannya dengan kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar baru-baru ini mencetuskan pelbagai persoalan sehingga ada yang mendakwa dia murtad.

Memetik laporan MalaysiaGazette, wanita terbabit mengaku apa yang berlaku atas salah dan kejahilan dia dan suaminya.

Malah, Illi Najwa turut menzahirkan permohonan maaf kepada keluarganya yang diheret sama dalam isu itu.

Bagaimanapun, wanita yang berasal dari Johor itu mengesahkan suaminya sudah memeluk Islam sejak akhir tahun lalu dan mereka melangsungkan pernikahan pada 16 Disember lalu dalam majlis tertutup.

Katanya, sijil nikahnya akan diperoleh pada Rabu depan.

Tegas Illi Najwa, beliau tidak pernah menukar nama atau agama seperti mana yang didakwa sesetengah pihak terutamanya warganet.

“Nama saya masih kekal Illi Najwa Anuar Hussin Saddique. Keluarga suami memanggil saya Navpreet sejak 2012 kerana sukar bagi mereka menyebut nama saya,”

Illi Najwa turut memaklumkan dia ke India mengikut prosedur perjalanan yang sah.

Media India sebelum ini melaporkan Illi Najwa berkahwin dengan Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Rakaman video majlis resepsi perkahwinan mereka kemudian tular di media sosial dengan memaparkan Manpreet mengenakan sut perkahwinan Punjabi.

Manakala Illi Najwa memakai pakaian pengantin wanita Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Dalam majlis itu, Illi Najwa dan suaminya kelihatan melakukan perbuatan yang mencetuskan pelbagai persoalan hingga status agamanya.

Mengulas mengenai video itu, Illi Najwa berkata, mereka tidak pernah meminta perkahwinannya di sana dirakamkan kerana tahu akan sensitiviti yang akan dihadapi mereka.

Namun, katanya, rakaman yang didedahkan oleh media itu di luar kawalan.

Illi Najwa mengakui dia tidak gembira dengan isu yang mengheret namanya dan suami.

Malah, katanya, Manpreet juga tidak mahu ia berlaku kerana sedar akan akibatnya.

“Kami tidak mengatakan apa yang kami lakukan adalah betul tetapi kami tidak mempunyai pilihan dan Manpreet tidak pernah memberikan kenyataan sensitif dan ketika mendapat tahu tentang berita ini, dia meminta semuanya ditarik balik,” katanya. – MG

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button