Covid19Kesihatan

Malaysia Diramal Berdepan Kemuncak Kes COVID-19 Pertengahan April – WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa kes positif COVID-19 di Malaysia bakal mencapai rekod tertinggi pada pertengahan April ini.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan yang dibuat, Ketua Misi dan Perwakilan WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapur iaitu Ying-Ru Lo memberitahu bahawa pihak WHO membuat anggaran berdasarkan kenaikan graf jangkitan di Malaysia yang agak mendatar walaupun telah mencatatkan kes positif tertinggi di seluruh Asia Tenggara setakat ini iaitu 2,908 kes.

Tambahnya lagi, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan graf jangkitan di Malaysia akan kekal mendatar, tetapi ia boleh naik semula jika perintah kawalan dibatalkan dan orang ramai tidak meneruskan langkah-langkah keselamatan sedia ada.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah membuat jangkaan gelombang ketiga yang akan menyebabkan peningkatan kes secara mendadak kerana ramai rakyat Malaysia telah membuat perancangan bercuti di negara-negara berisiko tinggi COVID-19 lebih awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihak kerajaan telah pun meramalkan negara akan dilanda gelombang ketiga atau ‘tsunami Covid-19’ tiga minggu lalu.

“Sebenarnya ramai juga rakyat Malaysia telah merancang untuk bercuti ke luar negara ketika musim cuti sekolah malah ada juga satu kementerian telah meluluskan permohonan perjalanan ke negara berisiko tinggi seperti Jepun, China, Korea, Itali dan juga Iran. Ini baru sahaja cerita satu kementerian, bagaimana pula dengan keseluruhan rakyat Malaysia yang lain” katanya lagi.

Kerajaan bimbang seandainya ada puluhan ribu rakyat Malaysia yang telah dijangkiti dengan Covid-19 selepas melawat negara-negara ini, bagaimana kita mampu mengasingkan jumlah seperti 32,000 ini? Satu mimpi buruk.

– Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Menurutnya lagi, langkah terbaik untuk mengekang wabak ini adalah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain membuat sekatan perjalanan ke negara-negara tertentu, seperti yang dilakukan baru-baru ini.

“Dengan memaksa hampir kesemua rakyat Malaysia duduk di rumah dan kuarantin diri, kita sememangnya dapat menghadkan jangkitan serta menjangkiti yang lain,” ujarnya.

 

Ilham Azmi

I believe words are more powerful than guns.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button