KemanusiaanSemasa

LZNK perkasa kerjasama dengan MAPIM

Mampu berkhidmat sebagai perunding, perluas gerak kerja

BANGI : Lembaga Zakat Negeri Kedah, LZNK akan terus memperkasa kerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia MAPIM.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tuan Sheikh Zakaria Othman berkata, berbekalkan pengalaman, tenaga serta teknologi yang dimiliki, MAPIM layak menjadi sebuah majlis perunding kepada agensi-agensi yang mempunyai matlamat seumpama dengannya.

“MAPIM layak mengemudi sebagai satu majlis perunding, kepada agensi-agensi yang sama matlamat dengannya. Kita bagi pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah amat berterima kasih kepada MAPIM atas kesungguhan dan kesediaan MAPIM untuk bekerjasama dengan kita, terutama di Kedah, kita sedang membangunkan satu Perkampungan Ummah dan kita sedang bergerak ke arah itu”

Tambah beliau, kerjasama LZNK telah pun terjalin lama, melalui hasrat bersama menubuhkan Perkampungan Ummah di Malaysia untuk golongan asnaf dan perkampungan seumpamanya pertama di Kedah.

Sehubungan itu LZNK berkata tanah seluas 5.3 hektar itu akan dibangunkan dengan pelbagai perancangan yang tersusun.

“Kita sedang mengorak langkah ke arah pembinaannya, sekarang LZNK dan MAPIM sedang berbincang banyak perkara, tanah sudah ada, kita harap akan jadi kenyataan”

Sheikh Zakaria turut menjelaskan kerjasama lain dengan MAPIM telah pun terlaksana dalam membantu golongan asnaf serta golongan sasaran.

Penghantaran keperluan asas serta sumbangan kepada golongan sasaran ketika bencana seperti banjir juga semasa Perintah Kawalan akibat Covid-19 telah dijalankan dengan lebih bersistematik.

Justeru itu, beliau berkata mana-mana Badan Bukan Kerajaan yang berhasrat membantu golongan miskin merujuk kepada LZNK bagi memastikan pengagihan sumbangan itu disampaikan kepada golongan penerima yang tepat.

“Terima kasih kepada MAPIM memilih Lembaga Zakat Negeri Kedah sebagai platform untuk bekerjasama di negeri Kedah. Saya harap mana-mana NGO yang bercakap¬† tentang kemiskinan negeri-negeri, LZNK adalah agensi yang sememangnya 24 jam bercakap tentang bagaimana hendak membela kemiskinan.Rujuklah pada kami untuk bantuan, supaya matlamat penghantaran dan pengagihan itu sampai ke sasaran yang tepat.”

Sheikh Zakaria ditemui pada majlis lawatan rasmi beliau ke Wisma MAPIM di Bangi pada Isnin (5/10)

Beliau terdahulu melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, (Dr.) Sani Al Araby.

Sheikh Zakaria juga melakukan lawatan kerja ke gudang MAPIM yang terletak di Sepang tempat pek-pek sumbangan makanan dibungkus dan disediakan bagi tujuan pengagihan.

Lawatan rombongan pengurusan tertinggi LZNK juga mengunjungi rangkaian entiti MAPIM seperti Ladang Ummah, Studio Ummah Prima Network Sdn Bhd serta Kedai Marhabah.

UMMAHToday difahamkan konsep Marhaba Store MAPIM akan diperluaskan oleh LZNK ke seluruh daerah di negeri Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button