DuniaKemanusiaan

Letupan di Beirut: Pejabat MAPIM rosak teruk!

Wakil MAPIM gagal dihubungi

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM, menyifatkan kejadian letupan besar di ibu negara Lubnan suatu yang menggemparkan kerana kejadian itu berlaku bukan di kawasan perang, sebaliknya di tengah-tengah bandar Beirut.

Letupan kuat yang berlaku petang semalam itu turut menjejaskan pejabat wakil MAPIM di Ghirass, Beirut.

Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, Dr. Sani Araby Al-Kahery berkata, pihak MAPIM Malaysia, kini sedang mendapatkan maklumat-maklumat terkini daripada wakil MAPIM dan juga NGO-NGO lain di ibu negara Lubnan itu.

“Berita ini sungguh menggemparkan kerana berlaku di luar tempat, area yang hot zone seperti perang dan sebagainya tapi ia berlaku di tengah-tengah bandar Beirut Lubnan. Pada awalnya kita tidak menjangkakan letupan ini mengakibatkan kemusnahan di pejabat kita dan apabila kita terima maklumat kedua, kita dapat sahkan bahawa MAPIM juga terkesan apabila kawasan dijadikan pejabat juga musnah’’.

Setakat ini katanya, wakil MAPIM, yang juga masyarakat tempatan belum dapat lagi dihubungi.

Berada pada kedudukan kurang lima kilometer dari kawasan letupan, kemusnahan besar dapat dilihat berlaku ke atas pejabat wakil MAPIM berdasarkan visual dan foto yang diterima.

Serpihan kaca bertaburan di premis-premis pejabat, selain dinding pecah dan perabot musnah.

Manakala di sebahagian tempat terdapat mayat bergelimpangan di atas jalan raya.

Ribuan kereta yang diletakkan di kaki jalan turut musnah.

Siren ambulans turut kedengaran di sekitar lokasi kejadian yang kini dianggap `padang jarak padang tekukur’.

 

Berdasarkan kunjungan MAPIM ke pejabat di Beirut sebelum ini, Dr Sani berkata, beliau berharap angka korban tidak meningkat, namun pada realitinya agak sukar, berikutan kawasan kejadian padat dengan kediaman, hotel serta tumpuan aktiviti pelancongan berdasarkan kedudukan lokasi kemalangan yang berhampiran dengan laut.

Perkembangan secara langsung dari Beirut akan disiarkan malam ini oleh Wisma MAPIM dari Bandar Puteri Kajang,  sebaik mendapat maklumat-maklumat terkini berhubung kejadian itu. Siaran langsung itu dapat disaksikan menerusi page Facebook MAPIM

Setakat jam 2:00 petang tadi, memetik laporan The Associated Press, jumlah korban akibat letupan besar itu seperti yang dikeluarkan oleh Palang Merah Lubnan membabitkan sekurang-kurangnya, seratus orang terbunuh manakala lebih 4,000 orang lagi mangsa cedera.

Letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada kilang menghasilkan bunga api itu memusnahkan sebahagian besar bangunan sekitar.

Visual rakaman amatur mengenai letupan itu viral dan mengejutkan orang ramai kerana dikatakan menyamai letupan bom nuklear seperti pernah terjadi di Hiroshima, Jepun.

Tambah beliau, daripada maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca akibat letupan gas nitrogen, daripada simpanan 2,750 tan ammonium nitrat.

Kilang bunga api terbabit didakwa menyimpan gas berkenaan tanpa langkah keselamatan yang betul sehingga mengakibatkan letupan besar terbabit.

MAPIM juga menurut Dr. Sani melancarkan Tabung Kilat, bagi membantu pihak perwakilan mereka yang terjejas, bukan sahaja di lapangan tapi juga kerosakan harta benda mereka. Untuk salurkan bantuan sila ke :
https://toyyibpay.com/Beirut-Emergency-Relief-Fund

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button