Dunia

Letupan bom kereta – 12 maut, 100 cedera

Kejadian dekat bangunan agensi bantu wanita & OKU

HERAT, AFGHANISTAN : Sekurang-kurangnya 12 orang awam maut, dan lebih 100 cedera dalam letupan bom kereta di wilayah Ghor, barat Afghanistan, yang disasarkan ke atas ibu pejabat polis.

Serangan itu berlaku di Feroz Koh, ibu negeri wilayah Ghor, iaitu lokasi yang jarang-jarang dicemari insiden keganasan, berbanding kawasan lain di negara bergolak itu.

Kenderaan terbakar akibat letupan di Ghor. thenewsletter.net

“Pengganas meledakkan sebuah kereta dipenuhi bahan peletup dan akibatnya, 12 orang maut manakala lebih 100 cedera,” kata kementerian itu.

Pegawai kesihatan Ghor, Juma Gul Yakoobi memberitahu, mangsa turut terdiri daripada anggota pasukan keselamatan.

Tiada pihak tampil bertanggungjawab setakat ini, namun pertempuran antara Taliban dan kerajaan semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu.

“Letupan itu amat kuat, terdapat kematian dan kecederaan, dengan mangsa dibawa ke hospital,” kata jurucakap gabenor Ghor, Aref Abir.

Katanya, insiden berkenaan merosakkan bangunan berhampiran yang menangani isu berkaitan wanita dan golongan kelainan upaya (OKU).

Rundingan damai antara Taliban dan kerajaan Afghanistan bermula di Qatar, bulan lalu, namun keganasan terus berlaku di negara berkenaan.

Ia dilihat seolah tertangguh apabila Taliban dan kerajaan Kabul masing-masing bergelut dalam mengukuhkan rangka kerja asas untuk rundingan berkenaan. – AFP

sumber:twitter

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button