KerohanianSemasa

Lelaki! fahami secara menyeluruh keinginan berpoligami

Amalkan konsep mawaddah ke Jannah, bukan kesengsaraan kepada isteri

KUALA LUMPUR – 2 Mac :

“Hai, senangnya dalam hati
Kalau beristri dua
Seperti dunia
Ana yang punya
Kepada istri tua
Kanda sayang padamu
Kepada istri muda
I say, “I love you”
Istri tua merajuk
Balik ke rumah istri muda
Kalau dua-dua merajuk
Ana kahwin tiga
Mesti pandai pembohong
Mesti pandai temberang
Tetapi jangan sampai
Hai, pecah tembelang
Hai, senangnya dalam hati
Kalau beristri dua
Seperti dunia
Ana yang punya
Kepada istri tua
Kanda sayang padamu
Kepada istri…                             – P. Ramlee Madu Tiga

Demikian bait-bait keseronokan berpoligami yang digambarkan dalam filem Madu Tiga karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Hakikatnya banyak dugaan dan perpisahan terjadi akibat tiada ilmu di dalam kehidupan berpoligami, sehinggakan agama Islam yang membenarkan Poligami dipandang serong.  UmmahToday berkongsi artikel Berita Harian   yang menyatakan mengenai kewajaran berpoligami.

Golongan lelaki perlu memahami secara menyeluruh keinginan untuk berpoligami bagi mengelak perbalahan dan kegagalan membahagi hak sama rata sehingga menyebabkan kesengsaraan dalam institusi keluarga.

Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), , berkata urusan berpoligami perlu difahami sebaik mungkin, bukan sekadar tahu ingin beristeri lebih daripada satu.

Ketika ditanya Berita Harian – katanya  poligami ini perlu seiring dengan kefahaman berkaitannya yang bertujuan untuk berkeluarga dengan mengamalkan konsep mawaddah iaitu bahagia hingga ke Jannah, dan bukannya meninggalkan sengsara kepada mana-mana isteri.

“Justeru, persediaan sebelum berpoligami ini perlu ada, fahami situasi sedia ada bagi mengelakkan perbalahan dan tidak memberikan hak sama rata antara isteri-isteri mereka.

“Ini kerana ada kes, mahkamah terpaksa menolak permohonan walaupun dengan izin isteri selepas mendapati pemohon tidak mempunyai kemampuan dari kewangan dan sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Katanya, sepanjang 2015 hingga 2019, sebanyak 2,000 permohonan diterima untuk mendapatkan permohonan kebenaran berpoligami.

“Kita perlu melihat kepada undang-undang berkaitan poligami, iaitu bukan menyekat, tetapi lebih bersifat untuk mengawal bagi mengelakkan mudarat terhadap isteri dan anak-anak,” katanya.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata beliau banyak menerima kes berkaitan dengan isu poligami ini dan paling terkesan ialah membabitkan isu nafkah dan giliran.

Katanya, kebanyakan kliennya berdepan dengan isu ini dan kes terbaharu yang dikendalikan kes seorang lelaki mendapat kelulusan berpoligami, pada Julai 2020, bagaimanapun, tidak lama dia pula tiada pekerjaan.

“Sedangkan dia perlu menyara dua isteri dan empat anak dari isteri pertama yang hanya bergantung kepada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu RM500.

“Ketika ini timbul tekanan dan apabila isteri pertama mempersoalkan perkara ini, dia dituduh nusyuz.

“Kes lain pula, bergantung kepada pilihan suami mana satu yang disukai sama ada isteri pertama atau yang baharu.

“Bahagia dalam poligami itu bergantung kepada suami. Isteri tidak boleh memonopoli,” katanya.

“Sedangkan dia perlu menyara dua isteri dan empat anak dari isteri pertama yang hanya bergantung kepada duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), iaitu RM500.  Ketika ini timbul tekanan dan apabila isteri pertama mempersoalkan perkara ini, dia dituduh nusyuz.  Kes lain pula, bergantung kepada pilihan suami mana satu yang disukai sama ada isteri pertama atau yang baharu. Bahagia dalam poligami itu bergantung kepada suami. Isteri tidak boleh memonopoli,” – Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, Suzana Ghazali

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata berpoligami boleh dilaksanakan dengan tindakan dan cara yang betul.

Katanya, sudah tentu tidak salah kerana yang membenarkan poligami adalah syarak dan rukhsah (kelonggaran).

“Bagaimanapun, disebabkan cara dan tindakan salah hingga mengundang kesengsaraan isteri, akhirnya poligami itu memberikan tanggapan negatif berterusan kepada mereka yang ingin melaksanakannya.

“Banyak salah faham berlaku berkaitan dengan poligami. Jadi perkara yang boleh diketengahkan ialah dengan melihat keperluan kes, kemampuan bakal poligami lelaki dan maslahah bakal isteri kedua dan ketiga.

“Menyekat poligami itu tidak akan membawa ke mana-mana kerana pada akhirnya suami dan wanita itu juga tetap akan berkahwin sama ada di sempadan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah memperketatkan prosedur poligami hanya bagi lelaki yang benar-benar layak dan tidak mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan.

“Berbeza di Singapura perkahwinan kedua atau ketiga yang tidak berdaftar sama sekali tidak diiktiraf, tetapi di negara ini, perkahwinan di Siam boleh didaftarkan dengan hukuman iaitu denda yang murah,” katanya.

Katanya, hujah wanita boleh berkahwin menggunakan wali hakim jika berada dalam jarak melebihi dua marhalah daripada wali mujbirnya, dilihat sudah tidak relevan untuk kes kahwin lari di Siam menggunakan wali hakim.

“Dalam era serba moden ini, teknologi boleh memainkan peranan seperti cara bernikah secara dalam talian, apa rasionalnya pihak jabatan agama mengiktiraf perkahwinan lari di sempadan.

“Jika diberi alasan untuk elak berzina bagi mereka yang memegang status suami, ia sangat dangkal. Apakah otak mereka hanya fikirkan tentang zina saja?

“Justeru, hentikan guna alasan ‘takut berzina’ bagi membenarkan kahwin lari di sempadan.

“Mereka mengamalkan poligami dengan cara berkahwin di sempadan ini sangat tidak ‘gentlemen’ dan pengecut,” katanya.

Beliau berkata, sembang perjuangan tetapi melakukan tipu daya menggunakan pelbagai dalil dan hujah agama dengan membawa ‘lari’ anak orang tanpa kebenaran wali.

“Sebab itu saya sangat menghormati mereka yang berpoligami secara jujur seperti selebriti, Saleh Yaakob,” katanya.

Namun, kebanyakan lelaki pada sekarang hanya tahu untuk menggambarkan poligami itu sebagai sunnah Nabi, sedangkan Nabi adalah insan terpilih dan perkahwinannya mengandungi hikmah tersendiri dan tidak boleh dibandingkan dengan diri mereka.

Malah di dalam al-Quran dan Sunnah tiada galakan khusus untuk melaksanakan poligami, sebaliknya yang dianjurkan adalah untuk berkahwin dan tidak membujang supaya mereka hidup berkeluarga.

FAKTA

Statistik status kes Permohonan Kebenaran Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020)

• Kes didaftar – 1510 kes

• Kes selesai – 1063 kes (70.4 peratus)

• Kes masih dalam prosiding – 447 kes (29.6 peratus)

Statistik status kes Permohonan Pengesahan dan Daftar Nikah Poligami di Mahkamah Syariah di seluruh negara bagi tahun 2020 (Januari hingga November 2020)

• Kes didaftar – 1543 kes

• Kes selesai – 827 kes (53.6 peratus)

• Kes masih dalam prosiding – 716 kes (46.4 peratus)

– Berita Harian

 

 

Related Articles

Back to top button