DuniaSemasa

Lebih 8,500 kanak-kanak direkrut jadi tentera :PBB

2,700 orang maut dalam konflik

NEW YORK: Lebih 8,500 kanak-kanak digunakan sebagai tentera dalam pelbagai konflik di seluruh dunia pada tahun lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 2,700 kanak-kanak terbunuh dalam pelbagai konflik berkenaan.

Laporan tahunan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata itu membabitkan isu pembunuhan, pencabulan dan penderaan seksual kanak-kanak, penculikan atau pengambilan, penolakan akses bantuan dan sasaran sekolah dan hospital.

Laporan itu mengesahkan pencabulan hak asasi telah dilakukan terhadap 19,379 kanak-kanak dalam 21 konflik. Jelasnya, pencabulan hak asasi golongan itu paling banyak pada 2020 dilakukan di Somalia, Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Syria dan Yaman.

Laporan itu juga mengesahkan seramai 8,521 kanak-kanak digunakan sebagai tentera pada tahun lalu manakala 2,674 terbunuh dan 5,748 cedera dalam pelbagai konflik.

Laporan berkenaan turut merangkumi senarai hitam negara yang bertujuan memalukan pihak terlibat dalam konflik dengan harapan menggesa mereka melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi kanak-kanak. – REUTERS

Related Articles

Back to top button