Covid19Semasa

Laporan ujian klinikal fasa ketiga vaksin COVID-19 minggu depan

Terbatal jika vaksin gagal didaftarkan FDA AS & NPRA, KKM

PUTRAJAYA: Malaysia dijangka menerima laporan ujian klinikal fasa ketiga vaksin COVID-19 minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata negara ini sudah berunding dengan 10 syarikat pengeluar bagi mendapatkan vaksin berkenaan sekiranya ia diluluskan.

“Sekiranya tiada kelulusan dan lesen diberikan kepada vaksin itu, ia tidak boleh dijual sama seperti ubat lain. Malah perjanjian kita dengan syarikat terbabit juga akan terbatal,”
Beliau berkata demikian dalam sidang media COVID-19.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya menerusi NPRA akan memastikan vaksin COVID-19 yang lulus didaftar dan dipasarkan di Malaysia adalah selamat, berkualiti serta mempunyai keberkesanan optimum mengikut keperluan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malah, beliau berkata perjanjian pembelian 12.8 juta dos vaksin COVID-19 daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer Inc, akan terbatal jika vaksin itu gagal didaftarkan FDA AS dan NPRA di KKM.

Mengulas rundingan dengan 10 syarikat vaksin, Dr Noor Hisham berkata ia langkah proaktif dilakukan untuk mendapatkan bekalan vaksin mengambil kira terdapat 12 syarikat yang mengeluarkan vaksin terbabit.

“Kebimbangan kita, apabila vaksin itu didaftarkan ia akan jadi (masalah) sama seperti gelombang kedua, iaitu ketika kita mahu dapatkan bekalan mesin bantuan pernafasan tetapi stok tidak ada disebabkan semua negara memerlukannya.”

“Begitu juga dengan bekalan pakaian perlindungan diri (PPE). Stok yang ada tidak mencukupi untuk kita peroleh kerana seluruh dunia kini menghadapi masalah sama.

“Jadi bila dah ada rundingan ini, ia sama seperti kita ‘booking’ vaksin berkenaan dengan syarat-syarat tertentu. Ini adalah tindakan proaktif dan kita belajar daripada gelombang kedua,” katanya.- Berita Harian

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button