DuniaSemasa

Lanun culik 15 anak kapal kargo

Jurutera maut, tiada tuntutan setakat ini

ANKARA: Seorang kelasi terbunuh manakala 15 lagi kelasi warga Turki, diculik selepas kapal mereka diserang di luar pesisir pantai Nigeria.

Menurut  berita Anadolu, kru kapal pada mulanya berjaya menyembunyikan diri, namun selepas enam jam tempat selamat mereka diceroboh lanun.

Dalam pergelutan dengan lanun seorang jurutera warga Azerbaijan maut.

Lanun itu kemudian meninggalkan kapal dan meninggalkan baki tiga orang kelasi membawa kapal kapal kargo Mozart milik syarikat Turki, yang mengibarkan bendera Liberia.

Stesen televisyen Turki, NTV, yang menemu bual beberapa anak kapal, melaporkan bahawa beberapa dalam kalangan mereka cedera.

Mozart sedang dalam perjalanan dari Lagos, Nigeria menuju ke Cape Town di Afrika Selatan apabila diserang lanun hari ini dan kini sudah tiba di Port-Gentil dekat Gabon.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, dalam laporan stesen televisyen NTV, dipetik berkata pihaknya sudah menghubungi semua negara berkenaan bagi membebaskan rakyatnya yang diculik.

“Penyamun, lanun yang menculik rakyat kita belum menghubungi kami lagi tetapi mereka pasti berbuat demikian bagi mengemukakan tuntutan,” katanya.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, sudah bercakap dengan kapten baharu Mozart menerusi telefon dan sedang mengikuti rapi semua perkembangan semasa, menurut kenyataan pejabat presiden. – AFP

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button