KemanusiaanSemasa

Kunjungan kasih sayang MAPIM Malaysia ke rumah emak angkat Amir

Meringankan beban dengan kasih sayang

Rawang : Tragedi kematian Zubaidi Amir Qusyairi, tujuh tahun, mengemparkan Malaysia. Kisah Amir ini sangat istimewa sehingga membuka banyak sisi lain yang rakyat Malaysia tidak tahu seperti undang-undang anak angkat, dan juga cara emak angkat Amir membesarkan Amir sehingga menjadi anak yang menyenangkan keluarga. Taat dan rajin. Paling utama, ia memberikan kesedaran bahawa kasih sayang itu bersifat universal, merentasi apa sahaja sempadan. Sama ada negara ataupun darah.

Adik Amir, kematian yang ‘menghidupkan’

Kematian Amir adalah kematian yang ‘menghidupkan’.

Kasih sayang merentasi sempadan itu juga adalah prinsip yang MAPIM Malaysia pegang semasa melakukan aktiviti kemanusiaan baik dalam negara ataupun luar negara. Atas dasar itu MAPIM melakukan kunjungan ke rumah keluarga angkat Amir, Puan Norlida Abu Hassan di Rawang.

The Helmis

Rombongan MAPIM Malaysia diketuai oleh Puan Marina Sulaiman dan disertai oleh aktivis kemanusian MAPIM The Helmis, Heliza Helmi dan adiknya Hazwani Helmi.

Puan Marina Sulaiman bersama Puan Norlida Abu Hassan

Menurut Puan Marina Sulaiman, “Kunjungan ini bukan sekadar bertanya khabar, tetapi MAPIM Malaysia mahu mengambil semangat Puan Norlida dalam menyampaikan kasih sayang tanpa sempadan. Selain itu kami membawa Heliza dan Hazwani semoga ia dapat memberi sedikit kelegaan dan kecerian kepada keluarga Puan Norlida yang pasti masih dalam keadaan bersedih.”

Semasa kunjungan itu, MAPIM Malaysia berkesempatan memberikan sumbangan kepada keluarga Puan Norlida sebagai tanda kasih sayang.

MAPIM Malaysia memberikan sumbangan kepada Puan Norlida Abu Hassan

Semasa ditemui, Puan Norlida Abu Hassan masih dalam keadaan bersedih tetapi beliau tidak pernah berdendam dengan keluarga Amir. Malah beliau merayu kepada rakyat Malaysia menghentikan apa sahaja spekulasi atas kematian adik Amir.

Tambah Puan Norlida Abu Hassan, “Jangan hukum mereka. Biar mahkamah yang tentukan. Jangan salahkan mereka.”

Pertemuan yang pada mulanya sayu dan pilu itu diselang seli dengan tip mendidik anak daripada Puan Norlida dan tip menjadi Muslim yang sentiasa berlapang dada dengan musibah.

“Saya sangat berterima kasih kepada MAPIM kerana sudi melawat kami,” kata Puan Norlida yang sangat terharu dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh rombongan MAPIM Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button