KemanusiaanSemasa

Kuasa Viral Rakyat Malaysia Selamatkan Jurutera Rusia Dari Terkandas

Siapa yang tidak berasa bangga bila negaranya dipuji kerana sikap rakyat yang mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi? Terutamanya jika pujian itu datang dari sebuah negara yang jauh lebih besar dan maju, ibarat tikus dengan singa perbezaannya. Tetapi itulah hakikat yang dinikmati oleh kita di Malaysia.

Baru-baru ini kedutaan Rusia di Malaysia telah mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan pihak polis kerana telah membantu seorang warganya yang terdampar di Temerloh, Pahang.

Dalam surat bertarikh 16 April, kedutaan Rusia memuji pihak polis Temerloh atas prestasi, kemahiran, pengetahuan dan koordinasi yang baik oleh semua pegawai yang bertanggungjawab dalam kes ini.

“Kami memahami kesulitan yang dihadapi oleh polis untuk menjaga keamanan awam dan perintah kawalan pergerakan. Terima kasih sekali lagi! Jagalah diri anda dalam menjalankan tugas.”

Surat dari kedutaan Rusia yang dikongsi di laman Facebook polis Temerloh.

15 April lalu, Maxim Lapin, seorang backpacker berusia 42 tahun dari Rusia menagih simpati orang ramai di bahu jalan dengan sekeping kertas yang bertulis ‘I can’t go home and have no money. I need a food’ (Saya tidak boleh pulang dan tidak ada wang. Saya perlukan makanan.)

Melihat kepada nasib malang yang menimpanya, seorang netizen Malaysia telah menularkan fotonya di laman Facebook dengan nama Eza Nurbaiti untuk menarik perhatian orang ramai agar dapat membantu Maxim.

Foto tersebut dikongsi oleh warga Facebook sebanyak kira-kira 14,000 kali dan mendapat perhatian pihak polis Temerloh. Dalam satu kenyataan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, pihaknya kemudiannya telah mendapatkan maklumat daripada pelancong itu dan membantu serta menghubungi kedutaan Rusia di Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi Maxim telah memasuki Malaysia pada 17 Mac lalu melalui sempadan Thailand-Malaysia untuk melancong sebagai backpacker. Walau bagaimanapun, perjalanan beliau tidak dapat diteruskan apabila Perintah Kawalan Pergerakan mula dilaksanakan pada keesokan harinya ketika beliau sudah berada di Kuantan dan tiket penerbangannya pula telah dibatalkan.

Maxim berjaya dihantar oleh pihak polis ke Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur pada 16 April dan kejadian itu turut mendapat perhatian rakyat Rusia yang rata-rata memuji sikap rakyat Malaysia yang sangat prihatin dengan sesiapa saja yang ditimpa musibah.

Semoga nilai murni yang ditonjolkan oleh rakyat Malaysia akan sentiasa menjadi teladan kepada sesiapa pun tanpa mengira sempadan dan perbezaan budaya serta agama.

Malaysia Boleh!

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button