Dunia

Kotak hitam pesawat Sriwijaya Air dijumpai

Banyak sepihan pesawat,barangan penumpang dan mayat juga ditemukan

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi pencarian pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu, mula menemukan serpihan pesawat dan enjin, barangan penumpang serta cebisan-cebisan mayat.
Operasi pencarian kini juga berfokus kepada mendapatkan kotak hitam pesawat, selepas koordinat pesawat yang terhempas di perairan itu telah dikenal pasti.
Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto dalam siaran media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan berkata pasukan SAR telah mengenal pasti kotak hitam itu di satu koordinat (tidak dinyatakan) yang berada pada kedalaman 23 meter di perairan berkenaan.
Setakat jam 4:00 petang hari ini  (10 Jan) sebanyak lima bungkusan cebisan-cebisan mayat telah dihantar ke Rumah Sakit Polri (Polis Indonesia) di Kramat Jati.
Ketua Rumah Sakit Polri Kramat Jati Asep Hendradiana dipetik agensi berita Antara berkata, pihaknya juga sedang mengumpul asid deoksiribonukleik (DNA) anggota keluarga para penumpang pesawat berkenaan.
Biro Komunikasi dan Informasi Publik, Kementerian Perhubungan dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan SAR setakat ini telah menjumpai beberapa bahagian pesawat seperti pecahan pesawat, jaket penyelamat, beberapa bahagian dalaman pesawat dan barangan penumpang seperti pakaian, beg dan kad identiti pengenalan penumpang.
Pelbagai objek dan cebisan mayat itu ditemukan di perairan Kepulauan Seribu pada kedalaman 23 meter di dasar laut.
Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air itu terputus hubungan selepas berlepas pada 2.36 petang waktu
Indonesia barat dari Jakarta menuju Pontianak, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta semalam. Penerbangan Sriwijaya SJ-182 itu membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button