Kerohanian

Kos haji meningkat ekoran pandemik?

Pendeposit TH disaran tambah simpanan, sedia perancangan diumum Arab Saudi

KUALA LUMPUR :  Selaras dengan penularan pandemik Covid-19, kos pelaksanaan ibadat haji pada masa hadapan dijangka meningkat.

Sehubungan itu pendeposit Tabung Haji (TH) disaran untuk menambah simpanan memandangkan kos pelaksanaan ibadat haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri, berkata ketika ini penambahan kos ibadat itu hanyalah satu kebarangkalian sahaja tetapi semua pihak harus bersedia dengan perancangan yang akan diumumkan Arab Saudi.

Katanya, antara persediaan itu adalah saranan agar pendeposit menambah simpanan di dalam akaun TH, bermula sekarang.

“Kita akan berbincang perkara (berkaitan kos) dari semasa ke semasa kerana setakat ini kita masih belum memperoleh unjuran kos lagi. Kita tidak dapat lagi stimulasi pergi dan balik haji termasuk penggunaan kapal terbang dalam menentukan kos itu,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-37 di Menara Tabung Haji, pada Selasa (22 Dis)

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff.

“Dalam isu penambahan kos ini, kita hanya menjangkakan sahaja… Saya sendiri akan ke Arab Saudi dalam masa terdekat untuk berbincang dengan Menteri Haji dan Agama negara itu. Ia akan diperincikan lagi,” katanya.

Tambah beliau, sebarang keputusan penambahan kos ibadat haji juga akan dimuktamadkan selepas melalui proses perbincangan termasuk dibawa ke Kabinet.

“Kita tidak mahu keputusan membesarkan kos ini mengejutkan (semua pihak),” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Zulkifli berkata, penambahan kos dan caj haji adalah berkait rapat dengan syarat serta prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang akan dikenakan Arab Saudi.

“Jemaah bukan hanya perlu bersedia dari segi kewangan, malah tahap kesihatan yang baik serta perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyesuaikan diri nanti,” katanya.

Kos jemaah haji muassasah TH, adalah sebanyak RM9,980 berbanding jumlah sebenar bernilai RM22,900.

“Tabung Haji dengan sokongan kerajaan, masih dapat mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang Jemaah haji ‘Muasassah’ sejak tahun 2009.

“Jemaah bukan hanya perlu bersedia dari segi kewangan, malah tahap kesihatan yang baik serta perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menyesuaikan diri nanti,” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Al Bakri

  • Muhammad Arshad Azmi (Pelajar Fakulti Animasi UITM)

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button