KepenggunaanSemasa

Ketua Polis Daerah diarah lapor premis jual makanan hidupan liar

KPN mahu sebelum 18 September depan

Ketua Polis Daerah di seluruh negara diarah menyerahkan laporan mengenai kewujudan premis menjual makanan hidupan liar di kawasan masing-masing dalam tempoh sebulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador Abdul Hamid, berkata laporan berkenaan perlu diserahkan kepadanya sebelum 18 September ini.

Katanya, arahan terbaharu ini dikeluarkan bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membanteras kegiatan pemburuan haram.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap Ketua Polis Daerah yang gagal mengesan pihak menjual makanan haiwan eksotik seperti landak dan ular. Tidak mungkin antara 300 hingga 500 anggota sedia ada di sesebuah kawasan gagal mengesan kegiatan ini”, katanya pada sidang media sempena Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Dengkil, hari ini.

Tambah beliau, PDRM tidak akan mengambil tindakan sendirian, sebaliknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan PERHILITAN.

Sementara itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membatalkan 3,500 syarat pemilikan lesen memburu.

Tan Sri Abdul Hamid menegaskan, penarikan semula lesen memburu itu dilakukan bagi menghentikan kegiatan pemburuan haram yang dilihat semakin berleluasa di negara ini.

Katanya lebih 8,500 syarat memburu setakat ini dikelaurkan dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 3,500 sudah dibatalkan manakala bakinya akan ditarik secara berperingkat. Bagaimanapun, syarat menjaga keselamatan kekal.

Sekiranya individu itu memiliki tanah atau kebun dan mahu menjaga tanamannya daripada diganggu oleh haiwan liar, ia dibenarkan PDRM.

“Mereka perlu tampil ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan kebenaran khas bagi menjalankan aktiviti haiwan perosak seperti babi,” katanya.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button