Semasa

Kerajaan perlu peka keperluan OKU : Ras Adiba

OKU berdaftar hampir 581,265 orang

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa supaya lebih peka kepada keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya berkenaan kos sara hidup, peluang pekerjaan, aksesibiliti dalam dan luar bangunan awam atau komersial kurang memuaskan, serta pengangkutan, yang memerlukan tindakan bersepadu untuk memenuhi piawaian.

Presiden OKU Sentral Senator Ras Adiba Radzi berkata perkara itu perlu dijadikan tunjang dan batu loncatan kepada kejayaan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Saya mohon kerajaan sentiasa meletakkan kepentingan dan fokus terhadap golongan OKU kerana banyak perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan kehidupan OKU lebih baik dan sempurna.”

“Akta OKU 2008 sedia ada perlu dipinda supaya lebih menyeluruh, memenuhi tanggungjawab Malaysia dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya, serta mekanisme penguatkuasaan dipertingkatkan,” kata Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia dalam kenyataan beliau semalam. (3 Dis).

Menurutnya sempena sambutan Hari OKU Sedunia pada setiap 3 Disember, beliau akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan bagi memperkasa golongan OKU di Malaysia, antaranya berkaitan usaha mengatasi masalah pengangguran dan pekerjaan dalam kalangan OKU serta merealisasikan dasar pengambilan satu peratus OKU dalam sektor awam.

Sementara itu, Ras Adiba berkata statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Oktober lalu, mencatat pendaftaran hampir 581,265 OKU dan jumlah itu menunjukkan komuniti OKU mampu memberi impak signifikan dalam masyarakat.

“Malaysia antara negara yang komited untuk meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD). Masih terdapat kira-kira 4.7 juta OKU yang belum berdaftar di luar sana dan saya menyeru agar kempen mendaftar OKU dipergiat supaya golongan ini dan ahli keluarga mereka dapat tampil mendaftar dengan JKM,”  – Senator Ras Adiba Radzi

Hari OKU peringkat kebangsaan bertemakan ‘Membina Kesejahteraan OKU: Mendepani Perubahan’ disambut dalam keadaan yang berbeza kali ini berbanding tahun sebelumnya berikutan penularan pandemik Covid-19.

Menerusi Belanjawan 2021, beberapa inisiatif bagi memperkasa golongan OKU diperkenalkan, antaranya kenaikan bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja (RM250 ke RM300), kadar elaun pekerja OKU (RM400 ke RM450), bantuan penjagaan OKU (RM350 ke RM500) dan program khidmat bantu di rumah (RM400 maksimum untuk sukarelawan). — Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button