Semasa

Kegagalan sistem kemudi punca pelanggaran kapal di perairan Muar

JOHOR BAHRU : Kegagalan sistem kemudi disyaki menjadi punca berlakunya pelanggaran dua buah kapal di perairan Muar tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria, berkata kapal MT Galapagos yang berdaftar dari Malta, dilaporkan mengalami kegagalan sistem kemudi lalu bergerak ke kanan sehingga menghalang laluan kapal MV Zephyr Lumos.

 

“MV Zephyr Lumos yang berdaftar dari Great Britain dipercayai gagal untuk mengelak himpitan daripada MT Galapagos dan berlaku pelanggaran di sisi kanan kapal.

“MV Zephyr Lumos membawa muatan kargo dalam pelayaran ke Terusan Suez dan dilaporkan terlanggar kapal MT Galapagos yang dalam pelayaran ke India di kedudukan 14.1 batu nautika barat daya Kuala Sungai Muar,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Kru kedua-dua kapal dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal Bot Kilat Maritim Negeri Johor ke atas kerosakan badan MT Galapagos mendapati terdapat tompokan tumpahan minyak.

Kini kedua-dua kapal terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut oleh Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kapal tangki dan sebuah kapal kargo telah berlanggar di perairan Muar sekitar jam 12.03 tengah malam tadi.

TAMAT///

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media) / AJ

Related Articles

Back to top button