KerohanianPendidikan

Kebakaran tahfiz bukan kecuaian, sebaliknya perbuatan khianat

Doa remaja bersalah diberi kebaikan dunia dan akhirat : Pengetua

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Kuala Lumpur, Mohd Zahid Mahmood berkata keputusan Mahkamh Tinggi Kuala Lumpur telah membuktikan kejadian kebakaran di tahfiz berkenaan adalah disebabkan perbuatan khianat.

Sekaligus keputusan itu menafikan dakwaan sesetengah pihak berlaku kecuaian dalam pengurusan tahfiz berkenaan.

“Saya mewakili pusat tahfiz bersyukur kepada Allah (atas keputusan dibuat mahkamah) dan kami terima dengan hati tenang serta terbuka. Insiden itu ujian amat besar diberikan kepada kami”, katanya ketika ditemui media.

Tambahnya lagi tiada siapa mahu keadaan itu berlaku, lagilah berlaku kecederaan kepada anak-anak didikannya, apatah lagi terbakar sehingga mengorbankan 23 orang termasuk dua orang guru.

“Ia sudah diputuskan dan ini ketentuan Allah”, beliau menyambung, ``Kita doakan remaja itu, diberi kebaikan dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, kita sudah tentu mahu melihat remaja berkenaan menjadi insan berguna kepada masyarakat dan agama pada masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Zahid yang juga Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan berkata, pihaknya mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, minggu lalu untuk mencadangkan penubuhan Majlis Belia Tahfiz di seluruh negara.

“Cadangan itu diterima baik menteri. Kita masih dalam peringkat pelaksanaan membabitkan perkara itu.

“Dengan adanya majlis belia ini, pelajar tahfiz yang rata-ratanya golongan muda boleh terbabit aktiviti sukan merentasi daerah dan negeri, selain dapat mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah,” katanya.

Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, terbakar dan mengorbankan 23 individu hampir tiga tahun lalu, dikosongkan sehingga mendapat arahan lanjut Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pic:Mynewshub

Mohd Zahid  berkata ketika ini, pihaknya menunggu lampu hijau daripada MAIWP untuk membaiki dan menaik taraf bangunan itu.

“Saya pun kena selesaikan beberapa isu lagi seperti tuntutan saman daripada ibu bapa mangsa, selepas itu baru boleh fikir mengenai bangunan berkenaan.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menjatuhkan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke atas seorang remaja berusia 19 tahun, selepas didapati salah membunuh 23 mangsa dalam kebakaran di pusat tahfiz itu.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button