Semasa

Kajian mendalam bina laluan khas binatang di lebuh raya

Kawasan gunung-ganang perlu kos tinggi

Pembinaan laluan khas untuk haiwan liar melintas khususnya di kawasan lebuh raya memerlukan kajian mendalam bagi memastikan keberkesanan kemudahan itu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya perlu mengenal pasti tabiat sesuatu haiwan, misalnya gajah yang mempunyai ‘laluan’ tersendiri.

Selain itu, beliau berkata lebuh raya yang terletak di kawasan gunung juga menyukarkan pembinaan laluan khas seperti jejantas khusus untuk haiwan liar di samping memerlukan kos tinggi.

“Kawasan bergunung-ganang agak mencabar. Apa yang kita laksanakan sekarang ini dengan memberi tanda ingatan ataupun tanda amaran di tempat biasanya menjadi laluan haiwan liar di kawasan terbabit. Itu memang kita berikan.

“Kalau nak buat jambatan, satu kosnya dan kita juga tahu bahawa kalau dari segi haiwan liar ini gajah misalnya haiwan itu memang sentiasa melalui kawasan sama.

“Sama ada haiwan itu nak ikut jambatan atau tidak, itu menjadi cabaran kepada kita. Itu sebabnya kita perlu bekerjasama dengan Jabatan Perhilitan untuk membuat kajian seperti mana kita buat di (lebuh raya) Central Spine Road memang ada disediakan laluan. di bawah laluan seperti jejambat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) adakah kerajaan bercadang membina jejantas khas untuk haiwan liar di lebuh raya bagi mengelak kemalangan atau bahaya kepada pengguna jalan raya seperti insiden gajah mengamuk yang berlaku di Lebuhraya Timur Barat dekat Gerik, Kelantan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata bagi memastikan cabaran pembinaan laluan khas haiwan liar di lebuh raya dapat diatasi kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Bagaimanapun, secara peribadi beliau mengakui bahawa sukar untuk membina laluan khas untuk haiwan liar di lebuh raya terutama di kawasan yang memiliki bentuk bumi yang cerun dan tanah tinggi.

“Mungkin kita boleh kaji bersama dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk mengkaji bagaimana ia boleh dilaksanakan. Tetapi pendapat peribadi saya ia agak mencabar pada masa ini,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, lima individu bernasib baik apabila berjaya keluar untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan mereka dipijak gajah yang mengamuk selepas sebuah kereta lain membunyikan hon.

Kejadian menakutkan itu dipercayai berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik, kira-kira pada jam 7 malam,

Kenderaan itu dikatakan menghala ke Perak dari Kelantan dan kejadian berlaku tidak jauh dari Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Puncak Banjaran Titiwangsa.

Video kejadian itu tular di media dan mendapat reaksi gerun orang ramai atas keselamatan pengguna jalan raya terbabit terutama pada waktu malam.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button