Covid19Semasa

Jumlah pesakit Covid-19 di HTAR menurun separuh

SHAH ALAM: Jumlah kemasukan harian pesakit COVID-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu lalu.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi, berkata sebelum ini pihaknya menerima kira-kira 400 kes harian, namun jumlahnya menurun kepada sekitar 170 pesakit sejak kebelakangan ini.

“Pesakit COVID-19 yang kini menerima rawatan di hospital berkurangan daripada lebih 1,000 pesakit dengan kemuncaknya pada Julai lepas. Setakat 1 tengah hari tadi, pesakit sedia ada tidak sampai 900 orang. Gelombang kemasukan pesakit di HTAR ini berlaku pada awal Julai sehingga pertengahan bulan lepas.

“Alhamdulillah kini jumlah (kemasukan pesakit) turun sejak minggu lepas. Susulan keadaan ini secara tidak langsung berlaku penurunan kepada pesakit kategori tiga ke atas untuk dimasukkan ke dalam wad,” katanya, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung keadaan semasa di HTAR berikutan berlaku trend penurunan kemasukan pesakit COVID-19 sejak sebulan lalu dan paling ketara di Hospital Kuala Lumpur sejak seminggu lalu.

Dr Zulkarnain berkata, penurunan kes kemasukan pesakit itu membuktikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula membuahkan hasil dan keadaan di hospital berkenaan juga dalam situasi terkawal.

Katanya, sehingga 1 tengah hari semalam, pengisian katil bagi unit rawatan rapi (ICU) pesakit COVID-19 kira-kira 92 peratus. – BERNAMA

Related Articles

Back to top button