Covid19Kerohanian

Johor 12, Selangor 5 – jumlah dibenar solat fardu, Jumaat

SOP masjid, surau ketika PKP

UPDATE : Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa negeri menyusun semula ibadah dan aktiviti di masjid dan surau negeri terbabit.

Di Johor, hanya 12 jemaah dibenarkan untuk melaksanakan solat fardhu serta solat Jumaat di masjid dan surau di negeri ini sepanjang tempoh PKP.

Demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan 12 orang jemaah itu terdiri daripada pegawai serta ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau terbabit.

“Bagi bacaan surah al-Mulk selepas solat Isyak, bacaan surah al-Kahfi selepas solat Subuh, Jumaat dan bacaan surah Yasin dan tahlil hendaklah dilaksanakan di rumah kediaman masing-masing,” titah baginda.

Titah Sultan Johor, lain-lain aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang memiliki jumlah masa yang panjang seperti kuliah, ceramah, program membudayakan al-Quran dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

 

“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau yang dibenarkan ialah solat jenazah dengan had maksimum 12 orang, tazkir dan tarhim oleh pegawai masjid dan surau serta solat hajat mengiringi solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat.” – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Bagi negeri Selangor, solat Jumaat di semua masjid dan surau kebenaran Jumaat ditangguhkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, umat Islam di negeri ini perlu menunaikan solat Zuhur di kediaman masing-masing sebagai ganti.

“Bagaimanapun, lima petugas masjid dan surau kebenaran Jumaat yang dijadualkan bertugas boleh mendirikan solat Jumaat.

“Ini bersesuaian dengan keharusan mendirikan solat fardhu itu mengikut bilangan kecil yang terhad. Peraturan ini juga termaktub pada pelaksanaan solat fardhu lima waktu berjemaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Kelantan pula yang dikenakan PKPB,  hanya 50 jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu di semua masjid bandar dan jajahan serta mukim negeri ini berkuat kuasa sepanjang tempoh PKPB.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan had bilangan jemaah berkenaan perlu mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter pada setiap waktu.

Di KEDAH, semua masjid dan surau dibenarkan dibuka sejam sebelum solat fardu, manakala bagi solat Jumaat sejam setengah lebih awal sepanjang pelaksanaan PKPB di negeri itu.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan keluasan ruang solat, dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Bagi zon jingga pula, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan ruang solat utama masjid dan surau, juga dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

Memetik BERNAMA, lain pula di Negeri Sembilan yang membenarkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat Fardhu dan Solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah PKPB bermula hari ini hingga 26 Januari nanti.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata SOP kali ini sama seperti PKPB dahulu iaitu antaranya jemaah perlu membawa sejadah mereka sendiri, memakai pelitup muka dan perlu mengambil wuduk di rumah selain had keluasan mereka melakukan ibadah itu adalah dalam ruang utama masjid sahaja.

Di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata beberapa aktiviti di masjid dan surau ditangguhkan dalam tempoh PKP antaranya, solat fardu dan Jumaat bagi orang awam serta akad nikah.

Namun, terdapat beberapa perkara dibenarkan bagi meneruskan fungsi masjid dan surau iaitu azan dan solat fardu yang terhad kepada lima individu membabitkan imam, bilal, siak serta dua ahli jawatankuasa masjid, serta solat Jumaat yang hanya membabitkan 15 individu iaitu imam, bilal, siak dan ahli jawatankuasa masjid.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button