Semasa

JENDELA jadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara

3G bakal tamat, peralihan kepada 5G

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan pelan tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

Beliau berkata, JENDELA yang dirangka melalui satu sesi makmal, menjadi landasan penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi, serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

Beliau menjelaskan, pelan tindakan itu dilaksanakan secara berfasa, dengan Fasa 1 yang sudah pun berjalan akan memberi fokus pada akses dan kelajuan jalur lebar serta menamatkan rangkaian 3G, manakala Fasa 2 menumpukan peralihan kepada 5G.

“Fasa 1 yang bermula sekarang akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk, mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit.

“Ini juga akan membabitkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

“Fasa 2, iaitu peralihan kepada 5G akan disusuli selepas platform yang kukuh di dalam Fasa 1 ini dapat dicapai, selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan Sabah dan Sarawak antara negeri yang akan menerima manfaat utama dalam pelan tindakan itu dengan penambahan lebih 1,000 menara komunikasi serta naik taraf hampir 2,000 alat pemancar komunikasi di kedua-dua negeri itu.

“Rakyat Sabah akan turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan JENDELA dari tahun 2020 sehingga 2022.

“Penambahan sebanyak 382 menara komunikasi baharu sedang dirancang dan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS), sementara 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial oleh pemberi perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G.

“Sebanyak 251,166 premis juga akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik,” katanya.

Bagi Sarawak, Perdana Menteri berkata, 636 menara komunikasi baharu sedang dirancang dan 977 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf di bawah program PPS.

“Manakala 49 menara baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial. Sejumlah 43,013 premis akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik,” katanya.

Secara keseluruhan, kata Muhyiddin, JENDELA akan menyediakan akses kepada pengguna untuk menilai liputan dan kualiti perkhidmatan serta membolehkan perancangan dan pembinaan infrastruktur digital dimudahcara oleh pelbagai kementerian dan agensi termasuk di peringkat negeri, supaya perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi dapat diberikan kepada pengguna dalam kadar yang lebih segera.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kementerian dan agensi berkaitan untuk terus memberi kerjasama bagi menyokong aspirasi kerajaan menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai kemudahan asas bagi memacu negara ke arah ekonomi digital.

“Pelan tindakan JENDELA ini akan dipantau dengan rapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik di seluruh negara.

“Saya percaya kewibawaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan pembekal perkhidmatan melaksanakan JENDELA seperti yang dirancang.

“Dengan sokongan padu dan kerjasama kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button