Semasa

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah bakal dikebumi selepas Zohor

Ramai hadir beri penghormatan terakhir

KUALA LUMPUR : [VIDEO] Suasana suram dirasai di Masjid Ar-Rahah, Pantai Dalam apabila ahli keluarga, ahli politik dan beberapa kenalan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Tun Rahah Mohamad Noah.

Memetik Bernama  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin serta Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut mencemar duli berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Rahah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi bekas Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat  hadir menziarah jenazah bonda Datuk Seri Najib,  di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi hari ini.

Turut bersama Tun Mahathir ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Manakala ahli politik yang kelihatan ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.

Orang ramai yang menyanjungi jasa dan sumbangan Tun Rahah kepada negara juga mula beratur di pekarangan masjid seawal 8 pagi sebelum dibenarkan masuk.

Tetamu yang hadir dibenarkan memasuki ruang masjid secara berperingkat untuk memberi penghormatan terakhir bermula 9 pagi sehingga jam 12.30 tengah hari ini.

Jenazah dijangka dibawa ke Makam Pahlawan, Masjid Negara untuk dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.

Allahyarhamah  Tun Rahah, 87, sebelum ini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Prince Court dan disahkan meninggal dunia 4.45 petang semalam.

Beliau adalah figura penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara iaitu suaminya, Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta anaknya Najib yang juga Perdana Menteri keenam.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button