Covid19DuniaKerohanian

Jemaah hidap sakit kronik diminta tangguhkan umrah

Ibu hamil juga ditegah bagi elak risiko Covid-19

ARAB SAUDI : Jemaah yang menghidap penyakit kronik disaran menangguhkan ibadah umrah bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan pada Isnin, mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetis, tekanan darah tinggi, obesiti serta sakit jantung dinasihatkan menangguhkan dahulu hasrat mereka.

Mereka yang pernah ditahan wad sejak enam bulan lalu dan menerima rawatan berkaitan jantung, lemah imunisasi dan penyakit dada kronik dalam masa 12 bulan terakhir disarankan menangguhkan perjalanan buat sementara waktu.

Turut tersenarai adalah golongan ibu hamil.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly memaklumkan, kerajaan telah mengambil peranan dan memberikan sumbangan besar di peringkat global untuk penyelidikan dan kajian klinikal yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan peringkat bagi menunaikan ibadah umrah bulan lalu sempena pembukaan semula ibadah umrah di Tanah Suci Makkah.

• Fasa pertama yang telah berjalan akan membenarkan warganegara dan ekspatriat tinggal di Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada kapasiti 30 peratus, iaitu bersamaan dengan 6,000 jemaah setiap hari, mulai 4 Oktober depan.

• Fasa kedua akan meningkatkan kapasiti Masjidil Haram kepada 75 peratus yang meliputi 15,000 jemaah umrah dan 40,000 jemaah solat setiap hari, mulai 18 Oktober ini.

• Manakala fasa ketiga akan membenarkan jemaah dari luar negara menunaikan umrah, bermula 1 November depan, membabitkan kapasiti 20,000 jemaah umrah dan 60,000 jemaah solat setiap hari.

Bagaimana pun setiap jemaah hanya akan diberi masa tiga jam untuk menunaikan umrah dengan bermula dan berakhir di kawasan khusus sekitar Tanah Suci, pada peringkat pertama pembukaan semula ibadat itu, menurut Arab News.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button