EkonomiSemasa

Jawab kaji selidik KWSP, tambah baik skim pencarum

Lapan minggu bermula 8 Oktober

KUALA LUMPUR: Kaji Selidik Rundingan Awam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2020 secara dalam talian yang dijalankan selama lapan minggu bermula 8 Oktober lalu.

Kajian ini bertujuan mengumpul maklumat untuk membangun, menambah baik dan merangka semula skim yang ditawarkan kepada pencarum.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein, berkata kaji selidik itu juga mengambil kira keperluan dan kehendak ahli yang sentiasa berubah, terutamanya dalam persekitaran masa kini yang tidak menentu.

“Kaji selidik dalam talian yang berlangsung selama lapan minggu ini adalah sejajar dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, di samping melindungi simpanan mereka dan memberikan perkhidmatan yang terbaik.”

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 ini dibuka kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang bekerja di negara ini melalui laman sesawang https://survey2020.kwsp.gov.my.

Nurhisham berkata, KWSP berharap untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh membantu dalam membangun, menambah baik dan merangka semula skim KWSP yang memenuhi keperluan masa hadapan.

Katanya, pihaknya maklum bahawa keperluan ahli berubah mengikut faktor kehidupan semasa, usia atau kemajuan kerjaya mereka.

Selain keperluan ahli, landskap pekerjaan dan budaya kerja juga telah berubah dengan penggunaan teknologi dan keadaan ekonomi.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk kami mengkaji semula skim KWSP dan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kami perlu mendapatkan maklum balas orang ramai.

“Kesejahteraan ahli adalah penting bagi kami dan percaya bahawa kaedah terbaik untuk memberi perkhidmatan yang terbaik adalah dengan mendapatkan maklum balas orang ramai, termasuk ahli warganegara Malaysia dan bukan warganegara.

“Kami ingin tahu pendapat mereka mengenai bagaimana KWSP boleh menambaikbaik atau memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.

Kali terakhir KWSP menjalankan kaji selidik adalah pada 2015 yang menjadi rundingan awam terbesar yang pernah dilakukan di Malaysia ketika itu.

“Menjelang 2021, kami berasakan sudah sampai waktunya untuk melakukan kaji selidik yang baharu supaya kami lebih memahami keperluan orang ramai dan dapat membantu mereka bersedia untuk waktu persaraan,” katanya.

Antara objektif Kaji Selidik Rundingan Awam KWSP 2020 adalah bagi mendapatkan pandangan dan pendapat orang ramai berkenaan skim KWSP sedia ada dan penambahbaikan yang dilaksanakan.

Selain itu, kaji selidik itu bagi memahami keperluan ahli dan bakal ahli sebelum dan selepas bersara serta memperkukuh aspek hala tuju dan strategi dalam melaksanakan penambahbaikan skim KWSP serta produk dan perkhidmatannya.

Fokus kaji selidik berkaitan perkara yang dibangkitkan oleh ahli untuk beberapa tahun kebelakangan ini.- BH

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button