Kerohanian

JAKIM akan jumpa kumpulan pendakwah selebriti

Harmonikan nama baik pendakwah Islam

KOTA BHARU : Bertujuan mengharmoni dan menjaga nama baik pendakwah serta agama Islam,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pendakwah selebriti hujung bulan ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, pertemuan itu akan diadakan bagi mendapatkan input berkaitan dalam penyampaian dakwah Islam menggunakan platform selebriti.

“Pada hujung bulan ini JAKIM akan panggil kumpulan pendakwah selebriti untuk dikumpulkan dalam satu majlis.. Dari situ mereka akan disampaikan mesej daripada kerajaan untuk mengharmonikan dan menjaga nama baik pendakwah serta agama Islam,”  – Timbalan Menteri di JPM  (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary 

Ahmad Marzuk berkata, langkah itu diambil berikutan timbulnya beberapa isu membabitkan pendakwah selebriti dan yang terbaharu berhubung peserta program realiti TV, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau Da’i Syed, yang didakwa atas tuduhan merogol dan cabul.

Beliau meluahkan kebimbangan dengan wujudnya beberapa isu sosial sebegitu terutamanya membabitkan golongan agamawan kebelakangan ini yang boleh memberi imej yang tidak baik terhadap agama.

“Kita tahu, dengan banyak isu yang timbul kebelakangan ini, sangat memberi imej yang tidak baik kepada agama. Walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil tapi ia tidak sepatutnya berlaku,” –  Timbalan Menteri di JPM  (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary 

Terdahulu beliau hadir menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di Kota Bharu.

Seramai 250 nelayan sekitar DUN itu hadir menerima bantuan musim tengkujuh yang diagihkan dalam bentuk barangan dapur.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button